Paling Popular
Terkini

Kenyataan kontroversi mengenai dakwaan wujudnya "tokong" dalam sukan bola sepak negara perlu disiasat jika ia ditujukan kepada sultan, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor.

Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas perkara itu.

"Adakah dia maksudkan Sultan Selangor yang tokong itu? Kalau dia kata macam tu dia kena (siasat di bawah) 3R (kaum, agama dan raja) lah," katanya kepada pemberita di Sungai Bakap hari ini.

Sanusi mahupun wartawan yang menyoalnya tidak menyebut siapa yang membuat kenyataan mengenai ‘tokong’ itu.

Bagaimanapun, ia jelas merujuk kepada catatan media sosial oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sebelum ini Malaysian Football League (MFL) mengenakan empat bentuk hukuman termasuk denda RM100,000 terhadap Selangor FC kerana tidak hadir dalam perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 10 Mei lalu.

Selangor FC memohon perlawanan itu ditangguhkan susulan beberapa insiden melibatkan pemain bola sepak terutama serangan asid terhadap pemain sayapnya, Faisal Halim. Bagaimanapun permintaan Selangor FC untuk menangguhkan perlawanan itu ditolak oleh MFL.

Susulan hukuman dikenakan MFL, Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah menzahirkan rasa murka baginda.

Selepas mendapat teguran keras daripada Sultan Sharifuddin, MFL mengurangkan denda terhadap pasukan itu daripada RM100,000 kepada RM60,000, manakala pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024-2025 turut dibatalkan.

Pada Khamis lalu, Tunku Ismail mempertikai keputusan MFL mengurangkan hukuman terhadap Selangor FC.

Dalam satu hantaran Facebook, Tunku Ismail secara sinis mendakwa kelab yang melakukan kesalahan kini boleh meminta campur tangan daripada sultan negeri masing-masing.

“Tuan-tuan dan puan-puan, saya persembahkan kepada anda tokong sebenar bola sepak Malaysia,” katanya di akhir catatannya.

Bagaimanapun, tidak jelas siapa ‘tokong’ yang dimaksudkannya.

Pada 28 Jun lalu, Sanusi dalam hantaran di media sosialnya mengatakan majoriti rakyat Malaysia menyatakan sokongan terhadap Selangor FC dan bersama skuad merah kuning itu.

Sanusi dan Tunku Ismail sebelum ini pernah berbalas kritikan mengenai isu membabitkan sukan bola sepak tanah air.

Pada 2021, Sanusi dan pemilik JDT itu saling berbalas sindiran berhubung isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Ini berikutan kritikan Tunku Ismail terhadap pengurusan KDA dan melabelkan Sanusi sebagai 'kepala pistol'.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS