Sebuah kapal Malaysia dibenarkan melalui Laut Merah dan dijangka tiba di Melaka pada awal bulan depan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Katanya kejayaan itu membuktikan dasar luar yang diamalkan Malaysia selain hubungan baik dengan negara-negara lain membolehkan beberapa isu kritikal dan krisis perkapalan ditangani dengan berkesan.
“Semalam, Presiden dan juga Ketua Eksekutif Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz maklum kepada saya, satu lagi kapal Petronas bertolak dari Yanbu, Arab Saudi melalui Laut Merah, telah diberi kelulusan.
“Kapal itu akan sampai ke Melaka pada awal Ogos, alhamdulillah,” katanya ketika berucap di program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jen Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jen Azhan Md Othman.
Laut Merah menjadi laluan perkapalan berisiko tinggi baru-baru ini susulan serangan terhadap kapal-kapal komersial oleh kumpulan Houthi dari Yaman yang disokong Iran.
Houthi pada Isnin mengumumkan "sekatan" ke atas kapal Arab Saudi.
Ia berlaku kira-kira seminggu selepas tercetus konfrontasi baru dengan negara jirannya itu yang berkonflik dengan kumpulan berkenaan selama lebih sedekad.

Sementara itu, Anwar berkata hubungan baik Malaysia dengan kepimpinan tertinggi Iran membolehkan kedua-dua negara berhubung secara langsung, sekali gus membantu menyelesaikan isu berkenaan dengan aman dan pantas.
“Nasib baik, alhamdulillah, hubungan kita dengan kerajaan Iran baik. Kita jaga hubungan dengan AS, dengan negara Teluk, negara Iran.
“Jadi apabila disekat kapal Petronas pada beberapa bulan yang lalu apabila bermula perang, hubungan baik kita menyebabkan mudah saya menelefon Presiden Iran.
“Setelah menyatakan simpati, saya minta dia lepaskan kapal Petronas. Antara kapal pertama yang dilepaskan di Selat Hormuz ialah kapal Petronas yang sekarang telah sampai ke Pengerang (Johor),” katanya.
Sidang khas parlimen
Kapal tangki Malaysia Ocean Thunder antara yang terawal diberikan laluan di Selat Hormuz, selamat tiba di Terminal Pengerang, Johor pada 17 April lepas.
Laluan melalui Selat Hormuz – sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya – terjejas berikutan serangan berterusan AS dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Feb lepas.
Ia disusuli dengan memorandum persefahaman (MoU) perjanjian damai antara Washington dan Tehran, dengan persetujuan muktamad antara kedua-dua negara itu perlu dicapai dalam tempoh maksimum 60 hari.
Perkembangan terbaru menyaksikan AS melancarkan beberapa siri serangan di seluruh Iran sejak minggu lepas, manakala Tehran bertindak balas dengan menyerang kemudahan dan pangkalan yang didakwanya digunakan oleh tentera AS di beberapa negara di seluruh Asia Barat.
Mengulas lanjut, perdana menteri menegaskan pendekatan Kerajaan Madani yang kekal menjalinkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa besar seperti AS, China, negara-negara Teluk dan Iran membuktikan Malaysia mampu mempertahankan kepentingan strategiknya tanpa mengorbankan prinsip ketegasan negara.
“Ada orang tegur, mengapa saya baik dengan China atau baik dengan AS. Sebagai negara berkembang, kita baik (dengan negara-negara berkenaan).
“Tapi kalau pembunuhan di Gaza ataupun sebelumnya perang serangan AS ke atas negara Islam Iran, Malaysia adalah antara negara pertama yang adakan sidang parlimen khas mengutuk serangan Israel dan AS,” katanya.
- Bernama
