Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif baharu berkaitan isu buruh paksa sekiranya keputusan yang diterima masih belum memuaskan.
Beliau berkata kerajaan mengambil maklum mengenai pengumuman terkini oleh AS berkaitan kadar tarif itu dan melihatnya sebagai perkembangan yang melegakan berikutan kadarnya secara relatif adalah rendah.
Bagaimanapun, Anwar berkata rundingan lanjut akan diteruskan untuk memastikan kepentingan negara terus terpelihara.
“Perundingan diteruskan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri). Kalau kita tidak dapat jawapan yang memuaskan, kita akan bangkitkan lagi.

“Sekurang-kurangnya, kita rasa lega kerana tarif secara relatif adalah rendah berbanding kebanyakan negara lain,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Media melaporkan Malaysia merupakan antara negara ASEAN yang dikenakan kadar duti terendah sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301 AS susulan kegagalan melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Selain Malaysia, Kemboja dan Indonesia turut dikenakan kadar duti 10 peratus, menurut kenyataan Wakil Perdagangan AS (USTR) Duta Jamieson Greer.

USTR memaklumkan tindakan itu diambil di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 terhadap 60 ekonomi susulan siasatan mendapati mereka gagal melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Pada masa yang sama, USTR memaklumkan semua ekonomi lain dikenakan kadar duti Seksyen 301 sebanyak 12.5 peratus manakala Malaysia turut layak dipertimbangkan bagi pelaksanaan kuota kadar tarif berdasarkan import input dari AS bagi menggalakkan peningkatan penggunaan kapas dan produk tekstil dari negara itu.
- Bernama
