mk-logo
Berita
Pemuda PAS Melaka lapor polis isu dakwaan pindahan wang ke Afrika
Diterbitkan:  May 7, 2026 7:30 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Pemuda PAS Melaka hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan tular yang mengaitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Bukit Baru, Melaka oleh Pengarah Jabatan Media Baru (UMED) Pemuda PAS negeri Zulhilmi Aziz Abdul Hannan bersama ketua penerangan pergerakan itu Anas Abdullah.

Tindakan itu susulan penularan satu rakaman video yang memaparkan dakwaan berkaitan penghantaran wang ke luar negara, termasuk ke Afrika.

"Pihak yang disebut namanya dalam video tersebut wajib tampil memberikan penjelasan dan penafian secara terbuka bagi mengelakkan spekulasi terus berleluasa.

"Bukan sekadar membuat penafian sahaja," kata Pemuda PAS Melaka.

Maklumat lanjut aduan itu tidak didedahkan.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

Semalam, Farhash berkata dia hanya ahli perniagaan dan tidak lagi terlibat dalam politik.

Bekas setiausaha politik kepada Anwar itu memberitahu dia tidak terlibat dengan kegiatan mencuri, mengubah wang haram atau menjadi warganegara asing.

Justery, Farhash berkata dia tidak tahu kenapa diheret ke dalam perkara itu, melainkan terdapat niat untuk meraih kepentingan politik.

Tak boleh pandang ringan

Dalam kenyataan hari ini, Pemuda PAS Melaka berlata  perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Selain laporan polis, sayap pemuda itu turut mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus, bebas dan menyeluruh bagi memastikan kebenaran ditegakkan.

Baru-baru ini muncul satu klip video memaparkan perbualan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dengan individu lain - dipercayai Albert Tei.

Tei sebelum ini menarik perhatian ramai berhubung dakwaan terlibat dalam kegiatan rasuah dengan sejumlah ahli politik dan orang kenamaan di Sabah.

Sofia sendiri merupakan salah seorang saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat dakwaan salah laku Tei dengan seorang lagi bekas pegawai kanan Anwar iaitu Shamsul Iskandar Md Akin.

Dalam klip itu Sofia mendakwa seseorang yang bernama "Anwar" memberitahu seorang yang lain bernama "Farhash" untuk melarikan sejumlah besar wang ke Afrika.

Anwar menafikan dakwaan tersebut dan meminta pihak yang membuat tuduhan agar mengemukakan bukti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS