Kementerian Penyatuan Korea Selatan pada Khamis memaklumkan bahawa ia akan meluluskan kunjungan pasukan bola sepak wanita Korea Utara ke Korea Selatan berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Korea (KFA), lapor Agensi Berita Yonhap.
Pasukan Naegohyang Women's FC yang berpangkalan di Pyong yang dijadualkan melawat Suwon, kira-kira 30 kilometer di selatan Seoul, pada 20 Mei untuk menentang Suwon FC Women dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Ia akan menjadi penampilan pertama pasukan sukan Korea Utara di bumi Korea Selatan dalam tempoh lebih tujuh tahun.
Di bawah Akta Pertukaran dan Kerjasama Antara Korea, rakyat Korea Utara perlu mendapatkan kelulusan individu daripada kerajaan untuk memasuki Korea Selatan.
Seorang pegawai kementerian berkata KFA setakat pagi Khamis masih belum mengemukakan permohonan yang diperlukan.
Dalam perkembangan lain, kementerian itu memaklumkan bahawa walaupun ia menghormati sokongan kumpulan masyarakat sivil Korea Selatan terhadap pasukan pelawat itu, ia menasihatkan agar bendera penyatuan Korea tidak dipaparkan semasa perlawanan.
- Bernama-Yonhap
