mk-logo
Berita
Nurulhidayah jelaskan maksud ‘semakan kehakiman’ dalam kes ayah
Diterbitkan:  May 7, 2026 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Exco Wanita Umno yang juga anak kepada presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid tampil menjelaskan maksud kebenaran ‘semakan kehakiman’ terhadap keputusan Peguam Negara (AG) yang menghentikan sementara pendakwaan terhadap ayahnya pada 2023.

Menurutnya, banyak pihak melihat keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam Malaysia untuk meneruskan semakan kehakiman itu seolah-olah telah “menang” kes terhadap Ahmad Zahid Hamidi.

“Hakikat sebenar yang perlu difahami ialah mahkamah hanya membenarkan permohonan semakan kehakiman itu diteruskan ke peringkat pendengaran penuh.

“Dalam bahasa mudah, mahkamah hanya memberi ruang untuk hujahan penuh didengar. Proses undang-undang masih berjalan dan belum diputuskan berdasarkan merit keseluruhan kes.

“Namun seperti biasa, naratif media tertentu cuba dibentuk untuk memberikan persepsi seolah-olah telah berlaku “kemenangan politik” terhadap presiden Umno. Sedangkan realitinya, ini hanyalah proses awal dalam perjalanan semakan kehakiman,” jelasnya dalam hantaran di media sosial, hari ini.

Terdahulu, keputusan semakan itu berkait dengan 47 pertuduhan rasuah terhadap timbalan perdana menteri itu yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang menyaksikan Zahid mendapat pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) tiga tahun lalu.

Dalam keputusan sebulat suara pagi ini, panel tiga hakim yang diketuai oleh Faizah Jamaludin berkata mereka mendapati permohonan semakan kehakiman itu wajar dan tidak remeh.

Mereka berkata Badan Peguam Malaysia membangkitkan isu-isu yang boleh dipertikaikan yang memerlukan semakan kehakiman penuh, dan mengembalikan perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Nurulhidayah berkata perlu difahami dengan jelas bahawa apa yang berlaku hari ini hanyalah peringkat leave atau kebenaran untuk semakan kehakiman diteruskan oleh mahkamah.

Tegasnya, ia bukan keputusan bahawa presiden Umno bersalah dan juga bukan keputusan muktamad terhadap DNAA yang telah diberikan sebelum ini.

“Ia juga belum memasuki peringkat pendengaran penuh merit kes. Dalam sistem perundangan, leave hanyalah proses awal bagi menentukan sama ada sesuatu permohonan layak didengar ke peringkat penuh.

“Namun seperti biasa, ada pihak cuba memainkan persepsi dan propaganda politik seolah-olah keputusan telah dibuat untuk melemahkan moral ahli dan menanam kebencian terhadap parti,” katanya.

Tambahnya, sebagai sebuah parti politik yang sering ditekan, Umno juga berhak mempersoalkan mengapa tekanan dan desakan berterusan dilihat begitu tertumpu hanya kepada presiden Umno, sedangkan dalam banyak kes lain melibatkan keputusan pendakwaan atau DNAA sebelum ini, tidak pula menerima tekanan sebegini daripada pihak tertentu?

“Mengapa dalam begitu banyak isu melibatkan keputusan pendakwaan atau DNAA sebelum ini, hanya kes presiden yang dilihat menerima tekanan berterusan?

“Adakah ini benar-benar perjuangan prinsip? Atau wujud kecenderungan pendakwaan terpilih dari sudut tekanan persepsi awam dan politik?” Soalnya.

Nurulhidayah berkata, dalam negara demokrasi, semua pihak berhak mendapatkan proses keadilan yang adil dan bebas daripada tekanan politik mahupun tekanan persepsi media.

Tambahnya, jika prinsip undang-undang mahu dipertahankan maka ia perlu konsisten kepada semua pihak, bukan hanya melibatkan presiden Umno.

“Bagaimanapun, Umno pernah melalui ujian yang jauh lebih besar daripada ini. Parti ini dibina bukan dengan emosi sehari, tetapi dengan ketahanan perjuangan puluhan tahun.

“Musuh politik mahu ahli Umno hilang keyakinan sesama sendiri. Jangan kita izinkan kemenangan mudah kepada mereka melalui perpecahan dan panik yang dicipta oleh naratif politik,” katanya sambil menambah bahawa parti itu tetap menghormati undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS