Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS S'gor: Tiong liabiliti negara, perlu letak jawatan segera
Diterbitkan:  May 7, 2026 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM
2

Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Tiong King Sing agar meletakkan jawatan secara terhormat susulan penganjuran program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, baru-baru ini.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, mendakwa program itu telah menghina nama baik serta identiti negara, selain mengundang kemarahan majoriti rakyat terhadap kerajaan Madani.

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

"Keangkuhan serta kebiadaban menteri Motac ini bakal menjadi tiket kekalahan dan faktor utama majoriti pengundi Malaysia menolak dan tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Umno dalam PRU16 (pilihan raya umum ke-16) akan datang.

"Keberadaan menteri Motac dalam kabinet Malaysia tiada manfaat bahkan hanya akan merugikan negara, rakyat, politik PH dan politik Umno," katanya dalam satu kenyataan media, lewat semalam.

Faizzuddin turut menyenaraikan beberapa rekod kontroversi Tiong sebelum ini, termasuk isu campur tangan urusan imigresen di KLIA, hidangan arak dalam majlis rasmi kementerian, serta kerjasama dengan jenama yang diboikot rakyat.

Selain itu, Pemuda PAS Selangor turut memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa kegagalan mengambil tindakan terhadap Tiong akan meletakkan "nyawa politik" PH dan BN di hujung tanduk.

Menurut Faizzuddin, rakyat tidak lagi boleh dibohongi dengan janji-janji kerajaan, manakala kegagalan pentadbiran sedia ada mungkin menyebabkan pengundi bukan Melayu tidak keluar mengundi pada PRU akan datang.

"PRU16 adalah pilihan raya yang amat sukar buat perdana menteri dan PH serta Umno.

"Kejahatan menteri Motac yang mencalarkan imej dan identiti negara dengan pelbagai kontroversi khususnya program Rain Rave Water Music Festival 2026 ini bakal menjadi titik noktah kepada masa depan mereka," katanya lagi.

Pihaknya turut menggesa Tiong agar bermuhasabah dan segera melepaskan jawatan dalam tempoh terdekat demi kepentingan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS