Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun ditahan polis daerah Maran, Pahang, selepas dipercayai terbabit dalam jenayah rogol.
Suspek yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai mengesahkan penahanan remaja lelaki terbabit.
"Berdasarkan laporan, kejadian itu dilaporkan berlaku pada awal Mac (semasa bulan Ramadan) di sebuah rumah di dalam daerah ini.
"Mangsa dikatakan keluar dengan suspek yang baru dikenalinya dan bersiar-siar di sekitar bandar Maran.
"Suspek kemudiannya membawa mangsa ke sebuah rumah sebelum melakukan jenayah itu," katanya.
Wong memaklumkan, mangsa adalah seorang pelajar kolej vokasional berusia 16 tahun.
Katanya, suspek ditahan semalaman untuk siasatan dan dibebaskan pagi tadi dengan jaminan polis.
"Kertas siasatan kes itu dibuka mengikut Sesyen 376 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang mengumpul keterangan berkaitan kes berkenaan.
"Sabit kesalahan bagi kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan," jelasnya.
Ditanya jika kenyataan media dikeluarkan itu mempunyai kaitan dengan satu dakwaan yang tular di media sosial sejak pagi tadi, Wong memberitahu ia ada kaitan.
Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai identiti suspek yang dikatakan anak kepada seorang wakil rakyat pembangkang di Pahang.
"Perkara ini tidak boleh saya nyatakan... ia 'peribadi dan sulit'," ujarnya.
Sebelum ini tular di media sosial dakwaan mengenai kejadian itu.
