Tentera Israel menyerang Iran dan Beirut pada Sabtu ketika Amerika Syarikat (AS) menghantar beribu-ribu lagi anggota tentera marin ke Asia Barat. Pada masa sama Presiden Donald Trump menuduh sekutu NATO sebagai penakut kerana enggan membantu menjaga keamanan dan membuka Selat Hormuz.
Menurut Reuters, beberapa sekutu, yang tidak dirujuk sebelum perang bermula, berjanji untuk menyertai usaha bagi memastikan laluan selamat melalui selat itu, namun Jerman dan Perancis berkata pertempuran mesti dihentikan terlebih dahulu.
Canselor Jerman, Friedrich Merz, berkata dia akan bercakap dengan Trump hujung minggu ini.

Selat Hormuz, saluran bagi kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global dan gas asli cecair, ditutup secara berkesan kepada kebanyakan kapal sejak AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran.
Sementara itu, Kyodo News pada Sabtu, memetik Menteri Luar Iran Abbas Araqchi sebagai berkata, negaranya bersedia untuk membenarkan kapal berkaitan Jepun melalui Selat Hormuz. Jepun mendapat kira-kira 90 peratus penghantaran minyaknya melalui selat tersebut.
Dalam pada itu, lebih 2,000 orang dilaporkan terbunuh sejak AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari, manakala rakyat AS kelihatan semakin bimbang dengan tanda-tanda bahawa perang boleh meluas lagi ketika ia memasuki minggu keempat.
Israel berkata ia menyerang Hezbollah di ibu negara Lubnan pada Sabtu ketika ia mempertingkatkan serangan udara yang menyasarkan militia tajaan Iran itu dalam limpahan konflik paling maut sejak Hezbollah melepaskan tembakan ke arah Israel bagi menyokong Tehran pada 2 Mac.

Israel turut melancarkan serangan baharu ke atas Iran pada Sabtu, termasuk di ibu negara Tehran, menurut tenteranya.
Pada Jumaat, tentera Israel melancarkan dua gelombang besar serangan udara ke atas Tehran dan tengah Iran, manakala Israel berhadapan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dari Iran.
Infrastruktur tenaga penting di Iran dan negara-negara Teluk yang berjiran turut diserang, dan harga minyak melonjak 50 peratus sejak perang bermula, sekali gus mengancam kejutan ekonomi global.
Di AS, United Airlines menyatakan ia akan mengurangkan jadual penerbangannya sebanyak 5 peratus pada suku kedua dan ketiga tahun ini sebagai perancangan menghadapi harga minyak yang tinggi untuk tempoh berpanjangan.

Sementara itu, Reuters melaporkan White House di bawah pentadbiran Trump, dalam usaha meningkatkan bekalan dan menurunkan harga minyak, menyatakan ia akan mengketepikan sekatan selama 30 hari bagi membolehkan penjualan 140 juta tong minyak Iran yang terkandas di atas kapal tangki akibat perang.
Pentadbiran itu sebelum ini meringankan sekatan ke atas jumlah minyak Rusia yang dikenakan sekatan yang sama.
