Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dagangan di Bursa Malaysia dijangka kekal tidak menentu minggu depan selepas cuti sempena Hari Raya Aidilfitri, walaupun trend keseluruhan masih menunjukkan momentum kenaikan secara berperingkat.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata pemacu utama kekal tertumpu kepada harga minyak dan perkembangan di Asia Barat, dengan sentimen pasaran dijangka terus dipengaruhi keadaan semasa.

"Ketegangan geopolitik yang meningkat dalam tempoh cuti panjang dari Jumaat hingga Isnin depan boleh mencetuskan lonjakan sementara kepada harga minyak.

"Bagaimanapun, jika ketegangan mereda sebelum pasaran dibuka semula pada Selasa, impaknya terhadap Bursa Malaysia dijangka kekal terkawal," katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan pasaran kekal sensitif terhadap pergerakan harga tenaga yang mendadak.

"Berdasarkan corak harian FBM KLCI dari 27 Feb hingga 19 Mac lalu, trend menunjukkan lonjakan mendadak harga minyak boleh menyebabkan indeks menurun antara 2.0 peratus hingga 2.5 peratus berikutan kos tenaga yang tinggi menjejaskan sentimen dan keadaan kewangan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata harga minyak mentah Brent berpotensi meningkat ke paras antara AS$120 hingga AS$130 setong, dengan Asia lebih terdedah kepada gangguan bekalan.

Mohd Sedek berkata pasaran menunjukkan keupayaan untuk menerima kenaikan harga minyak secara berperingkat tanpa gangguan ketara, dengan risiko utama terletak pada kadar peningkatan tersebut.

"Lonjakan mendadak boleh meningkatkan jangkaan inflasi, mewujudkan penilaian semula dasar dan aliran modal yang beralih arah.

"Oleh itu, walaupun prospek jangka pendek kekal positif secara berhati-hati, ia masih bergantung pada kestabilan pasaran tenaga dan ketegangan geopolitik tidak menjadi lebih buruk," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur seiring prestasi pasaran serantau susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Pada asas Jumaat kepada Khamis, FBM KLCI meningkat 21.86 mata kepada 1,720.71 daripada 1,698.85 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 melonjak 139.37 mata kepada 12,388.79, Indeks FBM Emas meningkat 132.97 mata kepada 12,538.80 dan Indeks FBM Mid 70 naik 111.04 mata kepada 17,142.98.

Indeks FBM Emas Shariah menokok 137.38 mata kepada 12,267.30 manakala Indeks FBM ACE menambah 28.49 mata kepada 4,404.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 260.86 mata kepada 20,679.12, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 7.89 mata kepada 183.16, manakala Indeks Tenaga merosot 3.29 mata kepada 793.81.

Indeks Perladangan pula meningkat 244.71 mata kepada 8,688.90.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 11.88 bilion unit bernilai RM14.56 bilion berbanding 17.71 bilion unit bernilai RM19.38 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 7.41 bilion unit bernilai RM13.74 bilion daripada 11.15 bilion unit bernilai RM18.18 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran susut kepada 3.39 bilion unit bernilai RM424.90 juta berbanding 4.87 bilion unit bernilai RM587.45 juta minggu lalu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 1.07 bilion unit bernilai RM392.27 juta daripada 1.67 bilion unit bernilai RM606.73 juta pada minggu sebelumnya.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup dari Jumaat hingga Isnin depan sempena Hari Raya Aidilfitri dan akan beroperasi semula pada Selasa, 24 Mac 2026.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS