Presiden Donald Trump memberitahu pemberita pada Jumaat bahawa dia tidak berminat dengan gencatan senjata dengan Iran.
Namun dia sedang mempertimbangkan untuk 'mengurangkan secara berperingkat' operasi ketenteraan selepas tiga minggu konflik.
“Kita boleh berdialog, tetapi saya tidak mahu melakukan gencatan senjata,” kata Trump yang dipetik oleh stesen CNBC dari White House sebelum berlepas ke Florida.

“Anda tahu anda tidak melakukan gencatan senjata apabila anda secara literal sedang menghapuskan pihak lawan.
“Mereka tidak mempunyai tentera laut. Mereka tidak mempunyai tentera udara. Mereka tidak mempunyai sebarang peralatan,” sambung Trump.
Dalam hantaran Truth Social lewat petang Jumaat, Trump mendakwa bahawa Amerika Syarikat (AS) “semakin hampir mencapai objektif ketika kami mempertimbangkan untuk mengurangkan usaha ketenteraan besar-besaran kami di Timur Tengah.”
Dia juga menegaskan bahawa Selat Hormuz, laluan perkapalan utama bagi sebahagian besar perdagangan minyak dunia, “perlu dikawal dan dijaga, jika perlu, oleh negara lain yang menggunakannya — dan bukan oleh AS!”
“Jika diminta, kami akan membantu negara-negara ini dalam usaha mereka di Hormuz, tetapi ia tidak seharusnya perlu apabila ancaman Iran dihapuskan.

“Paling penting, ia akan menjadi operasi ketenteraan yang mudah bagi mereka,” tulis Trump dalam hantaran itu.
Komen Trump muncul hampir tiga minggu selepas perang AS-Israel menentang Iran, yang bertukar menjadi konflik serantau yang lebih luas. Kenyataan itu memberi isyarat tiada penamat segera kepada konflik tersebut, yang menyebabkan pasaran saham merosot pada Jumaat dan harga minyak melambung tinggi.
Awal Jumaat,dalam panggilan telefon dengan Stephanie Ruhle dari MS Now , Trump berkata bahawa AS boleh menamatkan perang “sekarang juga” tetapi dia merancang untuk meneruskan serangan tersebut.
“Saya rasa kita sudah menang,” katanya kemudian di White House.
“Apa yang mereka lakukan hanyalah menyekat selat. Tetapi dari sudut ketenteraan, mereka sudah habis.”

Iran menyekat selat itu secara berkesan sejak permulaan perang. Trump mengecam sekutu NATO dalam usaha merekrut sokongan tambahan bagi membantu membuka selat tersebut, yang menurutnya sekali lagi pada Jumaat tidak penting bagi AS.
Sebahagian besar penghantaran bekalan minyak melalui selat itu ditujukan ke pasaran Asia. Bagaimanapun, Rizab Persekutuan Dallas dalam laporan yang dikeluarkan pada Jumaat berkata kesan ekonomi daripada penutupan itu akan melanda seluruh dunia, termasuk di AS.
Trump, ketika bercakap kepada pemberita Jumaat, menggambarkan pembukaan semula selat itu sebagai perkara mudah, asalkan negara lain datang membantu AS.
“Ia adalah gerakan ketenteraan yang mudah, ia agak selamat,” katanya.
“Tetapi anda memerlukan banyak bantuan dari segi kapal dan jumlah yang besar. NATO boleh membantu kami, tetapi setakat ini mereka tidak mempunyai keberanian untuk melakukannya.”
Dia juga menyeru China dan Jepun untuk terlibat sehari selepas Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi bertemu dengannya di White House.

Trump berkata awal minggu ini bahawa dia tidak akan menghantar tentera darat ke Iran.
Pelbagai saluran berita melaporkan pada Jumaat bahawa Pentagon menghantar sehingga 2,500 anggota Marin ke Asia Barat — pengerahan kedua seumpamanya dalam tempoh seminggu lalu.
