Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat berkata “terorisme” Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terus mengancam keamanan serantau dan global, lapor Anadolu Ajansi.
Menyorot pelbagai konflik yang berlaku di seluruh dunia termasuk perang Rusia-Ukraine di utara Turkiye, Erdogan berkata “rangkaian pembunuhan beramai-ramai Zionis” terus menghalang bekalan bantuan ke Gaza, membunuh penduduk, memusnahkan bangunan serta “bertindak seperti lanun”, merujuk kepada serangan berterusan Israel di Palestin.

“(Israel) telah menutup Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama kita, daripada ibadah dengan menjadikan perang Iran sebagai alasan. Ia juga mempercepatkan aktiviti penempatan haram dan dasar peluasan di Tebing Barat serta wilayah Palestin yang diduduki,” katanya.
Dia berkata 1,000 orang telah terbunuh di Lubnan oleh Israel sejak 2 Mac, sambil menambah jumlah penduduk yang dipindahkan secara paksa telah melebihi 1 juta orang.
Turkiye sedang menggerakkan “semua keupayaannya” untuk memulihkan keamanan dan kestabilan serta menghidupkan semula dialog dan diplomasi, katanya.
Erdogan turut menyatakan solidariti terhadap rakyat yang menyambut Aidilfitri dalam keadaan duka dan kesedihan, khususnya di Gaza.
“Saya percaya kita akan mengharungi tempoh sukar di rantau kita ini tidak lama lagi dengan saling menyokong, penuh harapan, kesabaran dan ketahanan,” katanya.
“Dunia Islam sekali lagi sedang berusaha mengharungi jalan yang dipenuhi halangan, perangkap dan muslihat,” tegasnya.

Mengenai konflik serantau lain, Erdogan berkata usaha Turkiye telah membantu mencapai penangguhan pertempuran sempena Aidilfitri antara Pakistan dan Afghanistan, sambil berharap gencatan itu berkekalan.
“Sekurang-kurangnya, kita menyambut baik keadaan yang pertempuran dihentikan antara dua negara bersaudara itu, tiada lagi pertumpahan darah, dan rakyat kedua-dua negara dapat menyambut hari raya dengan aman,” katanya.
“Harapan kita ialah ketenangan sementara ini akan menjadi kekal.”
- Bernama-Anadolu
