Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, membidas gesaan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin, yang mencadangkan Presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan susulan pertikaian dengan PAS berhubung kepimpinan Perikatan Nasional (PN).
Tun Faisal mengulas kenyataan Yunus, yang juga setiausaha Bersatu Sabah, selepas pemimpin itu secara terbuka menyuarakan sokongan agar Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, mengambil alih jawatan presiden secara sementara.
Sebaliknya, Tun Faisal berpandangan gesaan tersebut tersasar dan tidak mencerminkan realiti kegagalan sebenar dalam parti.
"Daripada minta Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur, lebih baik Yunus minta timbalan presiden yang berundur di atas kegagalan-kegagalan melaksanakan tugas dan peranannya sebelum ini.

"Seperti sebagai pengarah pilihan raya Sabah dan kegagalan mengawal tindak tanduk penyokongnya yang berulang kali melanggar perlembagaan dan disiplin parti sejak tahun 2025 lagi," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, PN yang diwakili Bersatu dan PAS bertanding di 42 daripada 73 kerusi namun hanya menang satu kerusi menerusi calon PAS, Aliakbar Gulasan di Karambunai.
Hamzah sebelum ini berulang kali menafikan wujudnya perpecahan dengan Muhyiddin, termasuk semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu tahun lalu.
Namun, ketua pembangkang itu terus dikaitkan dengan dakwaan wujud usaha menyokong perpecahan dalaman parti, yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin, termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, serta penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Mengulas lanjut, Tun Faisal turut mencadangkan Yunus menilai peranannya sendiri dalam kepimpinan parti di Sabah.
"Dia (Yunus) juga adalah sebahagian daripada kegagalan perancangan PRN Sabah.
"Sebagai ahli MPT tidak sewajarnya dia tidak faham mengenai kuasa eksekutif Presiden Bersatu untuk berunding dan status hasil perbincangan bersama presiden PAS adalah berbentuk rundingan dan cadangan," katanya lagi.
Sebelum ini, Yunus (gambar bawah) merangkap ketua Bersatu Libaran menyifatkan Hamzah sebagai pemimpin berpengalaman dan berkeupayaan untuk menerajui Bersatu, membina semula kepercayaan dalaman parti serta memulihkan hubungan strategik dalam PN secara lebih tersusun dan berdisiplin.

"Saya juga berpendapat Muhyiddin perlu memberi tumpuan kepada urusan undang-undang yang sedang dihadapinya, termasuk kes berkaitan Jana Wibawa yang dijadualkan pada Mac ini.
"Ini supaya hal ehwal kepimpinan parti dan pengurusan gabungan tidak terus dibebankan oleh kontroversi dan polemik yang berpanjangan," katanya.
Minggu lalu, kebocoran surat antara Muhyiddin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menghidupkan semula gesaan supaya ahli parlimen Pagoh itu berundur sebagai presiden Bersatu.
Perkembangan itu tercetus selepas Abdul Hadi menyanggah kenyataan Muhyiddin bahawa satu “konsensus” telah dicapai bagi menyelesaikan isu pelantikan pengerusi baru PN, termasuk dakwaan jawatan itu telah “dimansuhkan” melalui penubuhan majlis presiden baru.

Abdul Hadi bersama beberapa pemimpin kanan parti juga tidak hadir dalam mesyuarat “pra-majlis” yang diadakan Muhyiddin di kediamannya, yang hanya disertai komponen PN lain iaitu Gerakan dan MIPP.
