Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan sendiri tiada akses kod sumber sistem Bestinet, kata Rafizi
Diterbitkan:  Feb 3, 2026 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM
1

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata kerajaan secara dasarnya “dikunci daripada sistem sendiri”, berhubung sistem pengambilan pekerja migran Bangladesh secara digital yang dikendalikan Bestinet Sdn Bhd.

Susulan pendedahan Bloomberg pada 23 Januari mengenai eksploitasi terhadap pekerja Bangladesh, Rafizi mengimbas kembali penemuan terdahulu oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara, yang mendapati tiada kontrak rasmi pernah ditandatangani antara kerajaan dan Bestinet, meskipun syarikat itu mengutip RM100 daripada setiap pekerja migran bagi perkhidmatan tersebut.

Menyifatkan laporan audit itu sebagai “sangat menjejaskan”, Rafizi mengkritik kurangnya ketelusan kerajaan dan menggesa pelaksanaan prosedur yang betul dalam sistem pengambilan pekerja secara digital bagi mengelakkan eksploitasi berterusan terhadap pekerja migran.

Kalau ini betul-betul sistem kerajaan, akses untuk meluluskan mesti di tangan pegawai kerajaan. Vendor buat sistem, ya. Tapi vendor tak patut kendali dan beri kelulusan.

“Kalaupun Bestinet ini penyedia perkhidmatan yang bina sistem digital, mereka tak boleh kendalikan sistem itu kerana hanya pegawai kerajaan yang hanya berhak memproses dan meluluskan,” katanya.

Namun, bekas menteri ekonomi itu berkata, laporan audit menunjukkan akses turut diberikan kepada pengendali di luar kerajaan.

“Laporan Ketua Audit Negara dengan jelas menyatakan ia dikendalikan pihak bukan kerajaan dan lebih penting, ia menyatakan kod sumber (source code) pun tak diberi kepada kerajaan.

“Jadi pada dasarnya kerajaan dikunci daripada sistemnya sendiri. Itulah maksudnya, bukan?” katanya dalam audio siar Yang Berhenti Menteri bersama Anggota Parlimen Subang Wong Chen.

‘Yuran sindiket’

Laporan Bloomberg bulan lalu menumpukan kepada nasib pekerja migran Bangladesh yang terpaksa meminjam wang yang banyak untuk membayar apa yang didakwa sebagai “yuran sindiket” sebelum dapat bekerja di Malaysia.

Walaupun pekerja migran di seluruh dunia berhadapan perkara sama untuk mendapatkan pekerjaan, laporan itu menyatakan pekerja Bangladesh membayar lebih dua kali ganda daripada yang lain selepas kerajaan Malaysia menggunakan sistem yang diperkenalkan Bestinet.

Sistem itu diasaskan oleh Aminul Islam, warga Bangladesh yang telah mendapat kerakyatan Malaysia.

Aminul Islam

Berikutan laporan tersebut, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, mempersoalkan komitmen kerajaan membanteras rasuah sistemik di negara ini.

Rafizi turut mengingatkan bahawa sebelum 2018, dia dan beberapa anggota Parlimen PH yang lain sering membangkitkan isu itu, menggambarkannya sebagai bentuk “perhambaan” yang sangat merosakkan negara.

“Ini satu bentuk perhambaan dan ia menjadi tanggungjawab kita. Kita mesti hentikan ini.”

Dia berkata perkara itu jelas salah dari segi moral, undang-undang dan juga prosedur.

Justeru, katanya lagi, ia perlu dihentikan kerana kerajaan sebenarnya tidak pernah menandatangani apa-apa kontrak dan maka tiada tanggungjawab untuk mematuhi sebarang terma.

Sebelum ini, PAC menggesa Kementerian Dalam Negeri memutuskan sama ada mahu terus menggunakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang disediakan Bestinet.

Selain tiadanya kontrak rasmi, PAC juga mendapati pada 2015, kabinet bersetuju meletakkan FWCMS pada mod percubaan bersama satu lagi sistem daripada penyedia lain, iaitu ePPAx.

ePPAx dibangunkan Ivy Matrix Sdn Bhd, yang menang kontrak bernilai RM20 juta daripada Kementerian Sumber Manusia melalui tender terbuka.

PAC mendapati kedua-dua FWCMS dan ePPAx mempunyai tujuan sama, iaitu “memproses (pekerja migran) dari peringkat permohonan hingga tamat pekerjaan dan pulang ke negara asal”.

Walaupun ePPAx dibangunkan, KDN memutuskan untuk menggunakan FWCMS. Pada 2018, kerajaan mengeluarkan surat kelulusan kepada Bestinet untuk membangunkan, membekal, menyediakan dan menyelenggara FWCMS selama enam tahun bermula 1 April 2018 hingga 31 Mei 2024.

Pada 22 Dis 2021, kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob bersetuju menggunakan FWCMS secara eksklusif, namun tiada kontrak rasmi dimuktamadkan. Ketika itu, Hamzah Zainudin merupakan menteri dalam negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS