Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penguasaan bahasa Inggeris pelengkap bahasa Melayu - Nga
Diterbitkan:  Dec 13, 2025 7:45 AM
Dikemaskini: 11:45 PM

Penguasaan bahasa Inggeris merupakan kemahiran pelengkap kepada bahasa Melayu dalam memperkukuh keyakinan dan keupayaan penjawat awam berkomunikasi di peringkat global, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Katanya bahasa Melayu kekal sebagai kebanggaan negara dan teras keharmonian manakala bahasa Inggeris adalah alat penting yang membuka peluang, mengukuhkan diplomasi dan mempersiapkan penjawat awam.

"Penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa lain membolehkan pegawai kita mengetengahkan pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa, menarik kerjasama global dan menyampaikan perkhidmatan secara lebih berkesan dalam dunia yang saling berhubung," katanya.

Nga berkata demikian dalam kenyataan sempena majlis perasmian dan penyampaian hadiah Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Speak Up For Change 2025-The Minister’s Cup: English Public Speaking Challenge di Putrajaya hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan ituberkata bahasa Melayu akan terus dijunjung dalam semua komunikasi rasmi domestik, manakala penguasaan bahasa Inggeris akan terus diperkasa sebagai nilai tambah untuk memperkukuh keterlibatan Malaysia di pentas antarabangsa.

"Pendekatan kami adalah praktikal dan seimbang iaitu menghormati bahasa Melayu di samping melengkapkan pegawai dengan kemahiran untuk berinteraksi secara yakin di peringkat global," katanya.

Nga yang juga Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) turut menekankan bahawa pertandingan itu menggalakkan pembangunan pemikiran kritikal, keyakinan dan kepimpinan melalui pengucapan awam.

"Usaha ini sejajar dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) serta matlamat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memupuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan dan berorientasikan rakyat," katanya.

Dia turut memuji komitmen peserta dan menyifatkan pengucapan awam sebagai kemahiran yang memupuk disiplin, empati dan kepimpinan.

Usaha itu, kata Nga, merupakan elemen penting dalam perkhidmatan awam yang efektif dan berwawasan.

Menurut Nga, lebih 35 penjawat awam kementeriannya menyertai pertandingan The Minister’s Cup: English Public Speaking Challenge tahun ini.

Katanya pertandingan itu akan terus menjadi antara inisiatif kementerian dalam membangunkan perkhidmatan awam yang cekap, fasih dan peka global selaras dengan prinsip Malaysia Madani.

Pertandingan yang julung kalinya diadakan merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan penjawat awam untuk memperkukuh kemampuan komunikasi, kepimpinan dan kecemerlangan profesional dalam sektor awam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS