ULASAN | Saban hari, apabila wanita menyuarakan isu ketidakseimbangan peluang dalam politik, lelaki lebih cepat beremosi daripada mendengar, seolah-olah kebenaran pahit itu satu serangan peribadi.
Sedangkan realitinya, wanita tidak menuding jari kepada lelaki tetapi sistem yang sejak sekian lama mendiskriminasi mereka. PRN Sabah ke-17 baru-baru ini juga telah membuktikan hakikat itu apabila daripada 71 calon wanita, hanya lima calon yang diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat.
Pada hakikatnya di medan politik pemimpin wanita terpaksa membuktikan kebolehan mereka dua kali ganda berbanding lelaki. Ini bukan retorik, rungutan mahupun emosi. Ini adalah data, realiti, dan struktur sosial yang diwarisi sejak puluhan tahun.
Wanita dalam politik memikul beban sunyi, iaitu beban penilaian yang tidak seimbang.
Meskipun membawa rekod yang baik, namun setiap langkah mereka tetap diperhalusi dengan piawaian dan lensa yang tidak sama.
Lelaki masih diberi ruang untuk belajar dan mengasah keupayaan semasa memikul jawatan di gelanggang kepimpinan, manakala wanita tidak diberi kemewahan itu.
Bagi mereka, satu langkah sumbang wanita dianggap sebagai kegagalan, sedangkan bagi lelaki ia hanyalah “proses menuju kematangan”.
Sepuluh tahun yang lalu, kajian oleh Nichole M Bauer membuktikan pemimpin wanita dinilai lebih ketat dan dihukum lebih berat berbanding lelaki bagi kesilapan yang sama.
Masalah sama di mana-mana
Sekolah Pengurusan Yale dan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) pula menemukan pola jelas bahawa lelaki sering dinilai menerusi hanya potensi, namun wanita pula dinilai berdasarkan prestasi yang telah dibuktikan.
Lelaki boleh “grow into the role”, manakala wanita harus “arrive fully formed”.
Laporan-laporan IPU juga merumuskan realiti bahawa ahli politik wanita berdepan penilaian awam yang lebih tinggi dan lebih keras bagi tahap prestasi mereka. Ia merupakan beban struktur yang tidak dialami secara setara oleh lelaki.
Kerana itulah, ramai pemimpin wanita terpaksa memulakan langkah mereka dari garis permulaan yang jauh di belakang, namun diharap tiba di garisan penamat serentak dengan pemimpin lelaki yang diberikan laluan lebih rata.

Ini bukan kegagalan individu, ini adalah tekanan yang telah lama mengikat sayap pemimpin wanita.
Sejarah membuktikan bahawa prestasi wanita yang luar biasa tetap tidak menyingkirkan kewujudan piawaian berganda (double standards) ini.
Misalnya, Jacinda Ardern (New Zealand) diiktiraf dunia atas keberaniannya semasa tragedi Christchurch dan pandemik, tetapi tetap dilabel “terlalu beremosi”, dan “terlalu muda”.
Angela Merkel yang merupakan Canselor Jerman memimpin Eropah selama 16 tahun namun tetap berdepan cengkaman persepsi "kurang berkarisma" pada awalnya.
Ia adalah label yang lahir daripada stereotaip maskulin terhadap gaya kepimpinan.
Lembut tak bermakna tak tegas
Jika pimpinan antarabangsa juga mengalami fenomena sebegini, tidak peliklah pimpinan wanita di Malaysia turut menanggung beban yang sama.
Menurut UN Women pada 2023 sebanyak 76 peratus ahli politik wanita di seluruh dunia menerima kritikan dan serangan berbentuk personal - berdasarkan penampilan, suara, personaliti atau kehidupan peribadi. Mereka disanggah bukan terkait isu dasar.
Sementara itu golongan lelaki pula menerima serangan berbentuk prestasi dan strategi, bukan personaliti.
Apabila seorang lelaki diberi mandat dalam strategi pilihan raya, dia diangkat sebagai “jeneral perang”, dijulang atas simbol kekuatan, ketegasan dan keberanian.
Namun sebaliknya, apabila seorang wanita memikul tanggungjawab yang sama, yang hadir selepas itu ialah sindiran halus, kritikan berasaskan jantina, dan pertikaian tanpa henti tentang kebolehan mereka.
Kejayaannya dianggap biasa, manakala kegagalan yang kecil diperbesarkan. Setiap justifikasi dan keputusannya diteliti lebih keras dan ketat berbanding lelaki.

Pemimpin wanita sering menjadi sasaran diskriminasi kerana gaya kepimpinannya tidak menepati acuan jantina tradisional.
Lebih lembut tidak pernah bererti kurang tegas; lebih empati tidak sesekali menandakan kurang strategik; dan lebih inklusif bukan bererti kurang kepimpinan.
Penilaian pincang ini merencatkan interpretasi kita tentang kepimpinan sebenar.
Inilah paradoks yang jarang kita akui, piawaian berganda yang halus tetapi berterusan membayangi setiap langkah pemimpin wanita saban hari.
Realitinya, empayar dan negara tidak pernah dibina oleh satu acuan kepimpinan. Ia tegak kerana gabungan pemimpin yang berbeza gaya, rentak dan pendekatan.
Membetulkan realiti semasa
Menerusi landskap politik semasa, masyarakat mengiktiraf bahawa ‘peperangan’ sebenar memerlukan kepelbagaian kepimpinan, namun apabila seorang wanita tampil memimpin, kita menyempitkan tafsiran tersebut seolah-olah kepimpinan hanya sah jika ia menyerupai satu gaya, satu suara, satu wajah.
Sedangkan kekuatan sebenar datang daripada kepelbagaian itu sendiri.
Berapa ramai lagi pemimpin wanita yang akan dimalapkan sinarnya - bukan kerana mereka tidak mampu, tetapi kerana penilaian tidak seimbang yang berterusan memadam potensi mereka?
Pemimpin wanita tidak menuntut layanan istimewa, mereka hanya mahukan medan yang sama rata. Kerana apabila medannya tidak rata, kita bukan sahaja mengecilkan peluang kepimpinan wanita, malah kita sebenarnya sedang mengurangkan potensi masa depan negara.
Sekiranya kita cuba menepis isu diskriminasi ini sebagai hanya alasan untuk menutup kelemahan atau ketidakcekapan pemimpin wanita, ketahuilah bahawa hakikatnya kelemahan tidak pernah mengenal jantina dan ketidakcekapan bukan milik mana-mana kaum.
Malah, sejarah politik global sudah membuktikan bahawa piawaian berganda inilah yang lebih kerap menenggelamkan bakat wanita, bukan ketiadaan merit.
Realiti inilah yang wajar diperbetulkan. Politik masa depan memerlukan keberanian, strategi, empati dan rasional.
Sebahagian besar pimpinan wanita telah membuktikan bahawa mereka memiliki semua kualiti ini walaupun terpaksa melakukannya dua kali ganda lebih sulit daripada lelaki.
NADIA NAZRI ialah Pengarah Eksekutif Polity. Ia merupakan sebuah badan pemikir yang memfokuskan kepada kajian dan pembangunan dasar awam berasaskan bukti menerusi pendekatan berorientasikan tindakan khususnya dalam bidang sosioekonomi, keadilan sosial, keterangkuman digital dan reformasi kesihatan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
