Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedah tak boleh ‘haramkan’ judi, tindakan ceroboh kuasa pusat
Diterbitkan:  Dec 12, 2025 2:15 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Mahkamah Rayuan hri ini menolak rayuan kerajaan negeri Kedah yang mahu mengembalikan keputusannya untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri.

Ketika menyampaikan keputusan majoriti, Hakim Faizah Jamaludin dan Hakim Lim Hock Leng memutuskan bahawa arahan kerajaan negeri Kedah adalah ultra vires serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga mendapati rayuan tersebut tidak mempunyai merit. Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi bagaimanapun berbeza pandangan. Tiada kos diberikan.

Faizah dan Lim memutuskan bahawa tindakan kerajaan negeri menolak pembaharuan lesen bagi beberapa ejen perjudian, syarikat serta pegawai mereka adalah tidak berperlembagaan.

Lim merujuk kepada dakwaan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor, dalam afidavitnya bahawa keputusan itu bertujuan untuk ‘mengharamkan’ perjudian di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, hal ehwal perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan di Putrajaya, kerana lesen ejen dan pengendali dikeluarkan dan tertakluk kepada kawalan kementerian tersebut.

“Penolakan pembaharuan lesen ini membawa kesan mengambil alih kuasa menteri kewangan dan mengenakan larangan menyeluruh (ke atas perjudian dan loteri).

“Keadaan ini mewujudkan konflik sebenar antara kuasa kerajaan negeri dan persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru itu, keputusan hakim Mahkamah Tinggi tidak khilaf,” katanya.

Faizah pula berkata tindakan kerajaan negeri Kedah menceroboh kuasa persekutuan dan menjejaskan autoriti menteri kewangan di bawah Akta Pertaruhan Wang Terkumpul.

“Keadaan ini mewujudkan konflik sebenar antara kuasa negeri dan persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (yang mentakrifkan kuasa persekutuan dan negeri),” katanya yang dipetik portal itu.

Dalam keputusan minoriti, Azizah berhujah bahawa rayuan itu sepatutnya dibenarkan, kerana keputusan kerajaan negeri dibuat atas dasar awam.

Sanusi Nor

Dia merujuk kepada kenyataan Sanusi bahawa kerajaan mahu mengutamakan kebajikan rakyat dengan tidak memperbaharui lesen premis perjudian, tanpa mengira agama.

“Itu di luar bidang kuasa mahkamah,” kata Azizah, sambil menambah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan awal tahun ini mengakui bahawa perjudian, walaupun dikawal selia, masih boleh dihadkan atas pertimbangan dasar awam.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun memutuskan keputusan Kedah menghentikan pembaharuan lesen mulai 1 Jan 2023 sebagai ‘tidak sah dan tidak munasabah’.

Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan semakan kehakiman itu terhadap keputusan kerajaan negeri Kedah.

Keputusan itu adalah hasil daripada enam permohonan semakan kehakiman oleh ejen pertaruhan, syarikat pertaruhan atau pegawai utama syarikat-syarikat tersebut, mencabar keputusan kerajaan negeri.

Mereka berhujah bahawa perjudian dan loteri adalah perkara yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS