Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Dapsy seru semua parti sepakat iktiraf UEC

Berpaksikan prinsip bahawa Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) menawarkan nilai akademik yang tinggi serta mampu untuk menjana bakat demi tanah air, Dapsy menyatakan sokongan penuh terhadap iltizam kerajaan perpaduan untuk melaksanakan segala usaha untuk mengiktiraf sijil itu. 

Sijil UEC bukan sahaja mempunyai nilai akademik yang tinggi, malah mendapat pengiktirafan di persada antarabangsa, dan merupakan aset penting dalam sistem pendidikan pelbagai aliran di negara kita. Maka perkembangannya tidak harus dibantutkan oleh halangan politik.

Semua parti politik harus menyatakan pandangan masing-masing terhadap isu pengiktirafan sijil UEC agar pengundi-pengundi mengetahui dengan jelas tentang pendirian parti-parti politik terhadap isu ini. 

Pengiktirafan terhadap sijil UEC harus bersandarkan pertimbangan akademik. Ahli politik yang sedia ada tidak harus mengaitkan pengiktirafannya dengan kepentingan nasional mahupun dasar pendidikan negara. Hujah-hujah itu hanya mengaburkan keadaan dan tidak memberikan gambaran sebenar.

Dasar Pendidikan Negara adalah kerangka yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) kepada sekolah-sekolah kerajaan bawah kelolaannya.

Sukatan pelajaran yang berbeza tidak bermakna bahawa aliran pendidikan yang lain seperti sekolah persendirian cina dan sekolah antarabangsa tidak mempunyai nilai akademik. Dan jangan lupa bahawa beberapa universiti awam termasuk Universiti Malaya mengiktiraf kelayakan A-Level atau IB yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Diskusi tentang pengiktirafan sijil UEC tidak sesekali berniat untuk mencabar kepentingan nasional mahupun menjadikan sekolah persendirian Cina sebagai sekolah kerajaan bawah KPM. Sebaliknya usaha kini adalah untuk mengetepikan perbezaan politik. Pengiktirafan Sijil UEC adalah untuk mengiktiraf sijil tersebut yang membawa nilai akademik yang tinggi serta kompetensinya dalam arena antarabangsa.

Perlembagaan Persekutuan menjamin penggunaan dan perkembangan bahasa ibunda masing-masing. Maka kewujudan sekolah persendirian Cina dan perkembangan susulannya adalah menepati semangat perlembagaan, dan juga merupakan aset penting dalam masyarakat berbilang kaum.

Merit akademik Sijil UEC diterima di peringkat antarabangsa dan menepati keperluan akademik negara kita. Ia juga diiktiraf oleh beratus-ratus universiti di seluruh dunia, termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, Singapura dan Jepun.

Pua Khein-Seng bantu semikonduktor negara

Selaras dengan perkembangan dan penambahbaikan sukatan pelajaran UEC, kini seluruh sukatannya menekankan pemikiran kritis, sains kemanusiaan serta berasaskan Sains dan Matematik, piawaian akademiknya adalah menepati malah melebihi apa yang diperlukan oleh institusi pengajian tinggi negara kita.

Salah satu contoh terbaik adalah Pua Khein-Seng, pencipta pemacu kilat USB. Pua yang merupakan alumni sekolah persendirian Cina kini kembali ke Malaysia untuk membantu perkembangan bidang semikonduktor negara kita.

Usaha untuk mengiktiraf sijil UEC adalah iltizam kerajaan untuk menzahirkan penghargaan terhadap nilai akademiknya, dan juga merupakan langkah penting untuk melahirkan dan mengekalkan bakat anak muda tempatan di negara kita.

Sijil UEC telah diterima oleh beberapa kerajaan negeri, termasuklah Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Sarawak. Dalam beberapa negeri tersebut, bukan sahaja pelajar yang memegang Sijil UEC dibenarkan memasuki institusi pengajian tinggi bawah kelolaan kerajaan negeri, malah biasiswa ditawarkan pada masa yang sama.

Kejayaan beberapa negeri tersebut membuktikan bahawa pengiktirafan Sijil UEC bukan sahaja tidak menjejaskan kepentingan nasional, malah membantu negara untuk menyediakan bakat baru. Oleh itu, pengiktirafan sijil UEC harus dilaksanakan di peringkat persekutuan lantaran kejayaan kerajaan-kerajaan negeri tersebut.

Saya menyeru semua untuk hentikan polemik politik dan fokuskan usaha pengiktirafan yang berpaksikan fakta.

Pengiktirafan sijil UEC adalah janji Pakatan Harapan dalam PRU lepas. BN juga pernah menjanjikan untuk mengiktiraf UEC pada 2018. Malah PAS juga pernah menjanjikan perkara sama dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat. 

Kini kerajaan perpaduan hanyalah melaksanakan kewajipan politik untuk memasuki fasa usaha untuk mengiktirafnya. Semua pihak yang berkepentingan, khususnya ahli politik tidak harus terus mempolitikkan isu ini agar usaha pengiktirafan UEC dapat disempurnakan dengan profesional.

Pengiktirafan Sijil UEC akan membuktikan bahawa negara kita mengorak langkah besar dalam reformasi pendidikan di samping mempertahankan kepelbagaian serta keterangkuman. Seluruh masyarakat harus menyokong usaha kerajaan perpaduan untuk mengiktiraf UEC demi menjayakan misi penuh bersejarah tersebut.


WOO KAH LEONG adalah ketua Dapsy Kebangsaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS