ULASAN SUKAN | Masih terasa buntu apabila memikirkan jalan cerita mengenai episod FAM dan tujuh pemain warisan yang dipertikaikan badan dunia bola sepak dunia itu.
Hal ini kerana kemelut yang berlaku masih berterusan dan ia bagaikan sebuah drama yang penuh dengan babak mendebarkan.
Segala penjelasan mahu disampaikan oleh FAM itu pada sidang media baru-baru ini juga sekadar menggelirukan. Tak dapat ditangkap hujung pangkal bicaranya.
Gelagat itu membuat komuniti bola sepak negara tidak sabar menunggu 30 Okt mendatang.
Pada hari berkenaan penantian kita semua mungkin akan terjawab apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) akan membuat pengumuman tentang isu yang membelenggu sukan bola sepak negara ini.
Jawatankuasa Rayuan Fifa di Zurich akan membuat keputusan sama ada mengekalkan hukuman asal ke atas FAM dan tujuh pemain warisan yang dipertikaikan itu, atau mengubahnya.
Apakah Harimau Malaya akan dibebaskan – dan aib kita dapat dipadam – bakal terjawab. Mana satu penyudahnya?
Betul, selepas itu pun masih ada satu lagi saluran untuk FAM menagih simpati iaitu rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika tidak berpuas hati dengan keputusan muktamad Fifa.
Namun, daripada rentetan peristiwa yang berlaku hampir tiga minggu lalu, kita hanya terasa betapa kita sebenarnya berada di ambang kekalahan.
Sidang mencabar kesabaran
Setakat ini tidak nampak ada ruang untuk membebaskan diri. Amat menghairankan pun jika ada nanti.
Ini susulan dakwaan ke atas isu pemalsuan dan pengubahan dokumen pendaftaran pemain. Segala-galanya terarah kepada hajat besar melihat ‘kekuatan baru’ pada Harimau Malaya itu dapat membantu kita layak ke Piala Asia 2027.
Menyedihkan kerana sehingga sekarang proses permohonan itu belum meyakinkan sesiapa.
Senario begini hanya mengundang kecaman dan rasa marah semua pihak, termasuk golongan yang sebelum ini berkecuali.
Jarang kita melihat kumpulan wartawan ‘menyerang’ pegawai atasan atau pentadbir bola sepak negara seperti dipertontonkan pada sidang media baru-baru ini.

Kali ini mungkin kerana tahap kesabaran mereka sudah hilang selepas tidak ada penjelasan yang dicari-cari mereka selama ini. Segala-galanya adalah spekulasi dan andaian.
Hajat mereka hanya mahu pegawai FAM memberi penjelasan dan maklumat yang mudah. Sebaliknya apa dilontarkan kembali adalah jawapan yang ala-ala ‘kedekut’ saja.
Ia termasuk soalan mengenai kenapa FAM masih belum dapat memberikan bukti mengenai status pemain warisan sehingga pada hari ini.
Pada sidang media itu, Timbalan Presiden FAM, S Sivasundram, ada kalanya mengambil masa agak lama berfikir sebelum menawarkan jawapan. Itu pun dengan suara yang terputus-putus.
Dia juga dibantu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rob Friend, apabila tercari-cari fakta.
Sekadar enam bulan
Gelagat itulah yang difahamkan kurang disenangi oleh kira-kira 50 pengamal media di dewan Wisma FAM. Keadaan kemudian bertukar menjadi ‘ribut’.
Apa yang jelas ialah pengumuman mengenai keputusan menggantung sementara setiausaha agung badan berkenaan, iaitu Noor Azman Rahman.
Sivasundram memberitahu keputusan tersebut dibuat untuk membolehkan sebuah jawatankuasa bebas dibentuk dan menyiasat kesilapan teknikal berlaku di peringkat pentadbiran sehingga mereka dihukum Fifa.
Tapi kenapa hanya Noor Azman? Yang lain macam mana pula?
Mungkin FAM ada alasan munasabah untuk berbuat demikian kerana pada ketika itu badan induk tersebut berfungsi tanpa seorang presiden selepas penyandangnya, Mohd Joehari Mohd Ayub, meletakkan jawatan secara mengejut pada 27 Ogos lalu.
Mohd Yusoff Mahadi yang menjadi timbalan presiden dilantik selaku pemangku presiden.

Mohd Joehari pula nampaknya berundur pada detik yang tepat.
Pun begitu teka-teki timbul. Misalnya, kenapa dia tiba-tiba mahu melepaskan jawatan penting hanya selepas berada di situ selama enam bulan saja.
Sejak itu, ombak kecil yang bermula di Wisma FAM perlahan-lahan bertukar menjadi gelora yang ganas selepas Fifa membuat pengumuman besar sekali gus mendenda badan bola sepak Malaysia itu dan tujuh pemain warisan.
Kemelut bola sepak negara bertambah hangat lagi dalam sidang media baru-baru ini. Penulis sendiri tidak pernah melihat ketegangan sebegitu.
Pemimpin persatuan macam acuh tak acuh serta tidak dapat mendukung peranan yang diberikan. Ia memberi gambaran seolah-olah mereka menunggu arahan sebelum berkata-kata.
Meneka lebih lama
Ia membuat penulis mengimbas kembali ke era 1980 dan 1990-an, umpamanya. Ketika itu setiap pemimpin persatuan bola sepak lebih cekap dan bersedia dengan segala fakta sebelum mengadakan sidang media.
Hanya dengan kehadiran mendiang Paul Mony Samuel saja pun sudah mencukupi untuk FAM membuat sebarang penjelasan atau pemakluman. Dia ketika itu memegang jawatan Setiausaha Agung FAM.
Jarang sekali dia menghampakan media. Apa yang ditanya, dijawab dengan tenang dan sesekali ketawa dengan nada yang yakin. Hal itu kerana kecekapannya dalam urusan pentadbiran dan pengurusan yang cemerlang.
Dia juga memiliki pengetahuan amat luas mengenai bola sepak. Ia tidak menghairankan kerana tokoh itu memang meminati bola sepak sejak muda. Tambah memudahkan keadaan, Paul juga memahami benar-benar keperluan media.
Dia membantu agar petugas media massa dapat menyampaikan berita dan maklumat tepat kepada umum. Sebarang isu – malah jika melibatkan krisis bola sepak – ditangani dengan bijak. Dia menanganinya agar maklumat yang sampai kepada wartawan berbentuk mudah difahami.
Berbalik kepada bicara asal. Rasa-rasanya kita mungkin tidak akan dapat apa-apa lagi daripada pemimpin masa kini kecuali bahan untuk terus membuat spekulasi. Kita akan meneka dalam kesamaran lebih lama.
Fifa pula dijangka akan tegas dalam mempertahankan keputusan asal kerana mereka adalah antara organisasi sukan yang penuh kredibiliti di mata masyarakat antarabangsa.
Dalam konteks ini, wajar untuk kita tidak banyak mengharap simpati daripada Fifa apabila tiba detik 30 Okt nanti.
Sehingga tiba detik itu, rakyat Malaysia akan hanya melihat, mengingat dan menunggu.
Selamat menyambut Hari Deepavali!
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.