Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hak 40% hasil Sabah: Jangan ugut kerajaan persekutuan - Hassan
Diterbitkan:  Oct 20, 2025 9:25 PM
Dikemaskini: 1:25 PM
2

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, menegur tindakan pemimpin dari Sabah yang didakwa mengugut untuk meletakkan jawatan daripada kabinet persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak Sabah menerima 40 peratus hasil persekutuan.

Dalam satu kenyataan, Hassan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sihat dan belum pernah berlaku dalam sejarah politik negara.

"Ada parti dan ada menteri kerajaan pusat dari Sabah ugut kerajaan persekutuan. Ugutan politik itu berbunyi : "Jika Jabatan Peguam Negara (AGC) buat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berkaitan pembayaran 40 peratus hasil Sabah maka menteri dalam kabinet kerajaan persekutuan dari Sabah itu akan letak jawatan”.

"Pada pandangan saya ugutan politik seperti ini tidak sihat. Ini political ransom namanya. Hal seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Hassan berkata, AGC telah diberi hak untuk membuat semakan ke atas alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu dan perjalanan proses undang-undang tidak boleh dihalang.

"Berilah peluang kepada AGC menjalankan tugasnya jika kita menghayati prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan," tambahnya.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam semakan kehakiman mereka, dan menegaskan bahawa Sabah berhak secara perlembagaan menerima 40 peratus daripada hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu, berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri menyemak serta menyelesaikan tunggakan dalam tempoh 180 hari bagi “tahun-tahun yang hilang” dari 1974 hingga 2021, iaitu tempoh di mana tiada semakan bahagian hasil Sabah dilaksanakan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) kini sedang meneliti keputusan mahkamah tersebut dan akan menentukan sama ada akan memfailkan rayuan atau sebaliknya.

Semalam Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko) Ewon Benedick menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan daripada kabinet sekiranya kerajaan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.

‘Keputusan perlu disemak hakim lebih kanan’

Dalam pada itu Hassan turut menjelaskan bahawa dalam sistem kehakiman negara, mana-mana kes yang bermula di Mahkamah Tinggi boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan — forum tertinggi untuk menentukan isu perlembagaan.

"Jika alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu kuat dari segi fakta dan undang-undang tentu sahaja Mahkamah Rayuan akan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.

"Begitulah juga jika kes itu dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu oleh seorang Hakim perlu melalui ujian dan semakan oleh hakim- hakim yang lebih kanan di Mahkamah Rayuan Malaysia dan seterusnya di Mahkamah Persekutuan.

"Malaysia sebuah negara Persekutuan akan pecah jika politik ugutan digunakan untuk melemahkan kerajaan persekutuan .Biarlah proses undang-undang berjalan sepenuhnya secara tertib dari Mahkamah Tinggi hinggalah ke Mahkamah Persekutuan,” tambahnya.

Hassan turut mengingatkan bahawa Sabah menerima peruntukan tinggi dalam Belanjawan Persekutuan 2026, melebihi beberapa negeri di Semenanjung termasuk Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah.

Dia juga menegaskan bahawa isu berkenaan merupakan isu undang-undang perlembagaan yang melibatkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

"Tempat untuk diputuskan secara muktamad isu-isu keperlembagaan terletak di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bukannya di Mahkamah Tinggi Borneo di Kota Kinabalu," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS