Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ustaz muda dari Bersatu intai kerusi DUN Bongawan

Ketua Pemuda Bersatu Kimanis, Ridzuan Firdaus, yakin kemampuannya untuk mengharungi 'gelombang' politik Sabah yang tidak menentu — walaupun mengakui dia hanya “ikan bilis” yang memiliki cita-cita besar.

Ahli exco Pemuda Bersatu berusia 35 tahun itu kini menumpukan perhatian pada kerusi DUN Bongawan, salah satu daripada dua kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Kimanis — sebuah pekan nelayan di pantai barat Sabah yang terkenal dengan ikan bilis mata biru.

Dikenali sebagai “Ustaz” dalam kalangan masyarakat tempatan, Ridzuan berhasrat menawarkan diri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang untuk membawa suara generasi baru.

“Pertama, saya sebagai anak muda di kawasan ini, fokus saya untuk membawa perubahan. Perubahan itu, pertama saya melihat dari kapasiti parti. Kalau nak kata parti yang betul-betul pembangkang itu hanyalah Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Ridzuan yang merupakan seorang guru memulakan karier politiknya pada 2019 ketika pelancaran Bersatu Sabah, yang secara kebetulan berlangsung pada hari ulang tahun kelahiran anak perempuannya.

Sejak itu Ridzuan berkata dia kekal setia bersama parti walaupun rakan-rakannya kemudian menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas kerajaan negeri pimpinan PN tumbang pada PRU lalu.

“Sejarah saya saya tak pernah ada mana-mana parti politik yang lain, parti pertama saya adalah Bersatu di mana ketika itu zaman Harapan di bawah pimpinan Tun Mahathir

“Saya tetap berpegang teguh pada parti kerana saya melihat landskap yang lebih jauh, boleh memerintah lebih lama daripada Umno,” katanya.

Bagi Ridzuan, PN kekal sebagai parti bagi pengundi Melayu, dengan Bersatu dan PAS mewakili kepentingan Melayu dan Islam yang saling melengkapi.

Mengenai desakan agar rakyat Sabah memilih parti tempatan, Ridzuan menganggapnya tidak lebih daripada sandiwara politik.

“Pada saya untuk istilah parti lokal vs nasional, ramai yang sudah mengulas isu ini. Pertama, ini hanya sekadar slogan retorik yang tak membawa kepada implementation.

“Mereka nak jadi seperti Sarawak. Itu yang mereka laungkan ‘rumah kita, kita jaga’.

“Tapi kita tidak melihat ini sebagai pendirian yang teguh. Hari ini dibuktikan, bila sampai masa pilihan raya, perjuangan menjadi sia-sia kerana mereka akhirnya bergabung dengan parti nasional juga, "ujarnya.

Katanya, keseimbangan kuasa di Sabah akhirnya masih bergantung kepada pengaruh kerajaan pusat.

Ridzuan yang dilahirkan di Kimanis, manakala isterinya pula berasal Bongawan - kawasan yang mewakili lebih 20,000 pengundi — menaruh keyakinana akan dapat mendekati masyarakat Islam-Brunei tempatan.

Dia menjangkakan saingan sengit di Bongawan, dengan kemungkinan berdepan tokoh veteran politik, Anifah Aman — bekas menteri persekutuan dan ahli parlimen Kimanis selama empat penggal.

Anifah, adik kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, tewas di Bongawan dalam PRN lalu tetapi mengumumkan hasrat untuk bertanding semula bagi kerusi yang kini disandang oleh Warisan.

“Kita tidak nafikan sejarah beliau.

“Namun apa yang berlaku pada saya kita cuba lihat sejarah politik beliau, selepas beliau kalah PRU dan kembali mencuba dalam PRN, juga ditolak.

“Bagi saya, itu bukti sudah tercatat dalam sejarah pilihan raya yang kita boleh lihat sebagai satu asas yang kuat bahawa karier politik beliau itu telahpun berakhir. Mungkin rakyat di Bongawan mahukan pemimpin yang baru," kata Ridzuan.

Dia percaya pengundi kini bersedia memilih pemimpin muda, anak kelahiran tempatan dan bebas daripada budaya politik lama.

Aktivisme anak muda

Sebagai pensyarah sambilan, Ridzuan memerhati kebangkitan aktivisme anak muda di Sabah — dari gerakan atas talian hingga demonstrasi jalanan — sebagai tanda kematangan politik baru.

“Bukan nak kata rakyat Sabah selama ini diam tapi kita lihat budaya itu kini semakin merebak dari Semenanjung ke Sabah dan disambut baik anak muda yang telah pun berani bersuara dan menunjukkan ketidakpuasan hati mereka. Misalnya rasuah.

“Mereka tak ikut cakap orang tua sangat, kalau kata ayah Umno mak GRS, mereka tak mesti ikut.

“Pada saya, apa yang berlaku adalah satu gambaran bahawa pemimpin senior harus risau kerana perubahan akan berlaku dengan undi anak muda,” ujarnya.

Dari ustaz ke politik

Ridzuan memiliki latar pendidikan pendidikan dalam bidang Usuluddin dan Perbandingan Agama di Jordan, serta aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatannya.

“YB lain ramai pergi (majlis) orang kahwin, tapi saya lagi banyak hadir urusan kematian,” katanya berseloroh.

Katanya dari segi kekuatan parti, PN adalah satu-satunya gabungan yang menolak kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Hari ini kalau sokong GRS (bermakna) sokong Anwar, sokong Umno apalagi sokong Anwar. Jadi satu-satunya parti yang masih berpendirian teguh menolak kegagalan Anwar adalah PN,” jelasnya.

Bagaimanapun Ridzuan juga mengakui bahawa masa depan politik Sabah akan terus kompleks.

“Akhirnya bagi saya kita akan lihat kerajaan Sabah ini terbentuk dengan pelbagai parti, dan mungkin pada ketika itu pendiriannya adalah tidak menjadi parti lokal tetapi menjadi kerajaan negeri yang menyokong kerajaan pusat

“Pada saya adalah lebih baik untuk bersama dengan parti yang menolak kerajaan pusat, PN sebagai government in waiting,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Nov sebagai hari penamaan calon dan 29 Nov sebagai hari pengundian, ketika riak perubahan politik di Bongawan kian terasa.

Sama ada Ridzuan - “Ustaz” dari Kimanis ini - mampu bertahan dalam gelombang politik Sabah masih menjadi tanda tanya. Namun buat masa ini, tekadnya jelas iaitu untuk terus meredah arus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS