Kira-kira 100 belon berwarna biru — warna kegemaran Yap Shing Xuen — memenuhi langit di Nirvana Centre di Seputeh, Kuala Lumpur, pagi ini, dengan keluarga dan rakan memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazahnya dibawa ke Nirvana Memorial Park di Shah Alam untuk upacara pembakaran dan pengebumian abu.
Menurut laporan media, ahli keluarga, rakan dan guru melepaskan belon itu sebagai tanda penghormatan, selepas perarakan pengebumian sejauh 100 meter yang diketuai kakak sulung Yap dan sebuah van jenazah putih yang membawa kerandanya.
“Pihak keluarga berharap acara perpisahan hari ini bukanlah satu majlis kesedihan atau kemarahan, tetapi majlis penuh kasih sayang — agar kebaikan dan keberkatan terus mengalir,” kata pengacara majlis kepada hadirin, seperti dipaparkan dalam video KiniTV.
“Walaupun kehidupan Shing Xuen sangat singkat, dia telah mengajar kita banyak perkara. Dia mengajar kita untuk menjalani setiap hari dengan senyuman dan melayan semua orang di sekeliling dengan kebaikan.
“Apa yang ditinggalkan Shing Xuen bukan sekadar air mata, tetapi juga satu keyakinan — bahawa dunia ini boleh menjadi lebih indah melalui budi pekerti,” katanya lagi.

Menurut laporan Free Malaysia Today dan Malay Mail, lebih 200 orang hadir di upacara pengebumian yang bermula sekitar jam sembilan pagi.
Upacara bermula dengan ucapan takziah serta upacara tradisional tiga tunduk hormat di hadapan keranda.
Upacara berakhir sekitar jam 10.30 pagi dan van jenazah berangkat ke Nirvana Memorial Park pada jam 11.20 pagi.
The service concluded around 10.30am, after which the hearse departed for Nirvana Memorial Park at about 11.20am.
Ditikam berulang kali
Remaja berusia 16 tahun itu meninggal dunia pada 14 Oktober lalu selepas didakwa ditikam berulang kali oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun. Kejadian berlaku di tandas perempuan di sekolah mereka di Bandar Utama, Selangor.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar kemudian mengesahkan suspek telah ditahan reman sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Shamsudin Mamat dilaporkan berkata pihak polis akan memohon lanjutan reman selepas tempohnya berakhir esok.
Pada 16 Oktober lalu, ibu mendiang, Wong Lee Ping mengadakan sidang media di mana dia mendakwa anaknya ditikam sebanyak 200 kali — dari bahagian atas kanan badan hingga ke bahagian kaki.
Dalam sidang media yang sama, bapa tirinya, How Boon Chin merayu agar pengguna media sosial berhenti menyebarkan khabar angin tentang anak tirinya, dan apa yang pihak keluar mahukan hanyalah jawapan tentang apa yang sebenarnya berlaku.
Berikutan dakwaan itu, polis mengesahkan Yap mengalami banyak kesan tikaman, namun tidak dapat mengesahkan jumlahnya kerana masih menunggu laporan bedah siasat.
Yeoh ikrar perangi budaya ‘incel’
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam hantaran di media sosial hari ini berikrar akan melakukan apa sahaja untuk memerangi budaya “incel” dalam kalangan belia.

“Incel”, iaitu ringkasan untuk “involuntarily celibate”, merujuk kepada subkultur yang kebanyakannya terdiri daripada lelaki yang meluahkan rasa dendam atau amarah kerana merasakan mereka tidak mampu membina hubungan romantik atau seksual.
“Ketika negara mengucapkan selamat tinggal kepada Shing Xuen yang muda hari ini, KBS memberikan penghormatan kepadanya dengan meletakkan jersi Team MAS di tempat persemadiannya
“Shing Xuen yang meninggal dunia secara tragis di sekolah Bandar Utama, gemar bermain bola tampar dan menjalani kehidupan yang aktif. Saya memberitahu Lee Ping, ibunya, bahawa saya mahu Shing Xuen memiliki jersi kebangsaan kita dan Lee Ping berkata Shing Xuen pasti akan menyukainya
“Selepas ini, saya akan melakukan apa sahaja yang saya mampu untuk memerangi budaya incel dalam kalangan golongan muda,” kata Yeoh.
Kematian tragik Yap mencetuskan perbincangan mengenai keselamatan di sekolah dan budaya “incel”, mendorong Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mempercepat langkah keselamatan termasuk penggunaan pengesan logam dan pemasangan CCTV di sekolah.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil pula berkata kabinet sedang menimbang untuk menugaskan anggota polis di sekolah berikutan peningkatan kejadian keganasan yang berlaku di dalam sekolah mutakhir ini.