Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Saya memerhati rapat dengan penuh minat dan takzim akan gerak langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, terutamanya pendekatan dia terhadap golongan agamawan.

Terbaru, berlangsungnya Kuliah Subuh Madani di Putrajaya yang menampilkan Habib Umar Hafidz sebagai penyampainya.

Umar merupakan ulama dari Yaman yang terkenal sebagai pewaris tradisi keilmuan dan dakwah sufi dalam aliran Ba'alawi (Bani Alawi). Dan seperti biasa, setiap aliran pasti ada aliran lain yang kritikal terhadapnya.

Sufi lawannya Salafi, misalnya. Polemik tersebut sudah berusia ribuan tahun berlanjutan dan mungkin tidak akan selesai selagi dunia ini ada.

Dan di situlah kebijakan Anwar.

Minggu ini dia bersama tokoh sufi, manakala minggu yang lain dia bersama tokoh Salafi pula. Malah lebih menarik, sesekali dia menyatukan kedua-dua aliran tersebut dalam satu pentas.

Lihat saja apa yang berlaku di Axiata Arena semasa himpunan meraikan pejuang-pejuang Flotila Sumud Nusantara baru-baru ini. Di atas pentas yang sama Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dari jalur Salafi berkongsi rasa dengan Sheikh Wazir al-Makki dari jalur tradisional.

Dari mana datangnya kebijakan Anwar itu?

Bagi saya, itulah lambang kematangan Anwar sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan berpandangan luas. Dia sendiri sebelum menyertai politik terlibat dalam gerakan pembaharuan yang menyaksikannya mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada 1971.

Jalan menuju jumud

Perjalanan intelektual dan pendekatan semasa Anwar bukanlah sesuatu yang asing dan terpencil, malah banyak contoh yang selari.

Kita ambil pengalaman Rachid Ghannouchi di Tunisia sebagai contoh.

Pada 1970-an ketika Anwar dan rakan-rakannya menubuhkan Abim di Malaysia, Rachid pula menubuhkan al-Jamaah al-Islamiyah di Tunisia. Ia kemudian berkembang sehingga akhirnya menjadi Parti Ennahda pada 1989.

Pada awal gerakannya, Rachid turut berinteraksi dengan apa yang dia namakan sebagai keagamaan tradisional Tunisia.

Keagamaan tradisional Tunisia yang Rachid maksudkan itu terdiri daripada tiga unsur iaitu aliran fiqh mazhab Maliki, doktrin kalam as-Syairah dan aliran sufisme.

Bagi Rachid, tiga serangkai itu berkait langsung kepada taklid dan ketandusan ijtihad yang seterusnya menyumbang kepada apa yang dia sifatkan sebagai era kekakuan dalam sejarah Tunisia.

Rachid berpendapat, sesuatu masalah itu – apabila secara eksklusif hanya mengambil fiqh mazhab Maliki – akan membawa kepada kejumudan, sikap tidak toleran dan pembatasan terhadap ijtihad serta inovasi.

Doktrin kalam as-Shairah pula baginya cenderung kepada fatalisme lalu melahirkan masyarakat yang kurang pertanggungjawaban atas perbuatan masing-masing.

Ditambah buruk pula dengan aliran sufisme yang mendorong penyerahan tanpa soal pengikut kepada ketua mereka.

Maka pada awalnya, Rachid memilih untuk berkonfrontasi terus dengan kombinasi tiga serangkai di atas. Paling penting baginya ialah menegaskan bahawa manusia bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing.

Bagi ijazah sarjana Rachid di Universiti Tunisia, tajuk yang diambilnya adalah Takdir Menurut Pemikiran Ibnu Taimiyyah.

Ibnu Taimiyyah juga punya kritikan yang sangat kuat terhadap fatalisme dan sufisme. Rachid mahu menukar taklid kepada ijtihad, fatalisme kepada kehendak bebas dan pertanggungjawaban, taksub membuta tuli sufisme kepada kebebasan memilih, dan penyahkudusan para sheikh-sheikh sufi.

Kekangan reformasi intelek

Untung buat Rachid, Tunisia dan dunia Islam secara amnya apabila dia tidak mengambil masa yang lama untuk sedar bahawa konfrontasi bukanlah strategi yang tepat.

Rachid melihat pertembungannya dengan tiga serangkai yang telah berakar umbi dalam budaya setempat itu tidak menampakkan hasil. Tentangan masyarakat terlalu kuat.

Ketika gerakan Rachid itu turut menghadapi tentangan daripada rejim pemerintah, perkara terakhir yang dia perlukan adalah turut berbalah dengan masyarakat.

Pilihan yang ada buat Rachid ialah berdamai dengan golongan Islam tradisional, ulama-ulama dan para pemimpin sufi, dan kumpulan tarekat. Lalu, fokusnya ditumpukan di arena politik pula.

Dan setelah melalui episod perjuangan yang panjang – termasuk hidup dalam buangan selama lebih 20 tahun – Rachid akhirnya pulang ke Tunisia dan memimpin kemenangan Parti Ennahda dalam pilihan raya pertama Tunisia era demokrasi selepas Arab Spring.

Kini, Rachid dikenal sebagai seorang tokoh demokrat walaupun pada awal dulu kuat kesalafiannya.

Untung buat umat Islam kerana dihadirkan orang seperti Rachid dan Anwar untuk memimpin kita dan memberi teladan. Cuma ada satu lagi pemerhatian dan pengakuan Rachid yang perlu kita soroti.

Bahawa salah satu kesan serius kepada aktivisme politik adalah ia akan mengekang reformasi intelek.

Mungkin kerana itulah kita lihat ramai orang yang pada awalnya kelihat cerdik, pandai, penuh dengan idea, rausyan fikir, berwawasan namun mendorong kita menepuk dahi tanpa sedar apabila mereka menyertai politik.

Siapakah mereka? Kamu fikirlah sendiri!


NAJMUDDIN YUSOFF ialah peminat politik tanah air yang hari ini merayakan kelincahan Harry Maguire beraksi di Anfield tanpa perlu menyokong United.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS