Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Larang remaja guna telefon pupuk jiwa 'berontak'
3

ULASAN | Kes pelajar menikam rakan sekolahnya bukan sekadar tragedi ngeri, tetapi isyarat dari ruang batin masyarakat — bahawa kita sedang kehilangan bahasa untuk memahami generasi yang lahir dan membesar dalam era digital. 

Generasi Z, Aplha, Beta dan lainnya - mereka anak-anak Meta, berilmukan komputer, bersekolahkan Google, bergurukan AI dan hidup dalam rangkaian TikTok, YouTube, Roblox, Discord, Instagram, Telegram, Snapchat dan Spotify.

Mereka bermain di Roblox dan Minecraft untuk membina dunia imaginasi, berbual di Discord untuk mencari komuniti yang memahami, menyunting di CapCut untuk menceritakan kisah sendiri, dan belajar tentang dunia melalui algoritma TikTok yang tahu apa yang mereka fikir sebelum mereka sedar.

Bagi mereka, realiti dan maya bukan lagi dua alam yang terpisah, tetapi satu kesinambungan wujud — di mana identiti, emosi dan imaginasi saling bertukar bentuk tanpa dinding pemisah.

Sebagaimana orang dewasa masa kini, mereka juga hidup di alam simulasi digital manakala kehidupan nyata cuma kandungan untuk dipertontonkan. 

Media sosial adalah pentas baru media massa untuk masyarakat tontonan (society of spectacles) — tempat manusia belajar mengenal diri bukan melalui rasa, tetapi melalui imej yang memantulkan kehidupannya sendiri.

Maka timbul pendapat telefon pintar sebagai punca segala masalah, lalu mahu melarang dan mengawal. Tetapi bagi anak-anak yang membesar dengan skrin di tangan, teknologi bukan lagi alat, ia sudah menjadi lanjutan tubuh dan minda. 

Ia sebahagian anatomi tubuh ibarat kaca mata rabun malah lebih lagi kebergantungannya. Mengambilnya secara paksa seperti menyiat kulit dari tubuh — ia bukan mendidik, tetapi menyeksa.

Ilusi keselamatan

Bertindak balas dengan tragedi kes tikam pelajar di sekolah, politik menyelesaikannya melalui logik kawalan; menempatkan polis di sekolah, pengimbas logam, CCTV, larangan telefon pintar dan had umur media sosial. 

Ia memberi ilusi bahawa kita sudah “berbuat sesuatu”. Namun, semua itu hanyalah tembok kelabu penyelesaian sementara yang menutup pandangan kepada masalah sebenar — jiwa muda yang sunyi, keliru dan tidak percaya lagi kepada sistem.

Kawalan yang berlebihan terhadap remaja boleh menimbulkan kesan sebaliknya. Dalam tempoh remaja, otak manusia sedang berkembang pesat di bahagian yang mengawal empati, kawalan emosi dan pembentukan identiti diri. 

Bila kebebasan ini disekat, mereka mengalami konflik identiti dan tekanan kejiwaan kerana tidak dibenarkan membina kendiri melalui proses pilihan dan kesilapan.

Apabila remaja tidak diberi ruang untuk bersuara, mereka belajar bersuara dengan cara lain — kadangkala melalui pemberontakan senyap, tapi dari kegelapan ada juga yang menjelma menjadi kekerasan. 

Larangan dan pengharaman bukan menenangkan keadaan, sebaliknya mencetuskan reaksi balas jiwa, dorongan untuk menentang apabila kebebasan dirampas. Inilah benih kecil yang boleh tumbuh menjadi 'revolusi GenZ'.

Logik hilang arah

Jika benar telefon pintar dan media sosial menjadi punca segala keburukan, adakah wajar orang dewasa juga diharamkan menggunakannya — kerana jenayah kejam, rasuah terbesar dan pembunuhan paling terancang bukan dilakukan oleh pelajar sekolah, tetapi oleh orang dewasa yang kononnya matang?

Jika logik pengawasan dijadikan penyelesaian mutlak kerajaan, adakah langkah seterusnya ialah memasang pengesan logam di setiap bangunan, pejabat, pasar raya, masjid dan rumah ibadat, seolah-olah setiap manusia berpotensi menjadi penjenayah? 

Sekat komunikasi ibu bapa dan anak

Di zaman sekarang, larangan telefon pintar terhadap pelajar bawah 16 tahun bukan hanya menjejaskan akses maklumat, tetapi memutuskan tali komunikasi paling asas antara ibu bapa dan anak-anak. Apa lagi anak yang tinggal berjauhan dari keluarga menetap di asrama.

Di dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, telefon sering menjadi saluran jaminan emosi dan fizikal — cara ibu bapa memastikan anak selamat di sekolah dan asrama, di jalanan atau ketika perjalanan pulang ke rumah. 

Apabila saluran itu diputuskan, siapa yang akan menghubungi siapa ketika berlaku kecemasan?

Adakah sekolah mampu menggantikan sistem komunikasi secekap dan sepantas teknologi telefon pintar dalam membina hubungan langsung antara keluarga?

Ironinya, larangan ini boleh membuka ruang kerentanan (vulnerability) baru terhadap jenayah yang lebih dahsyat: Tanpa saluran langsung, anak-anak lebih mudah terasing, tertipu, masuk ke ruang gelap siber dengan peranti digital yang diguna secara 'bawah tanah' atau di luar sistem rasmi serta terdedah kepada penjenayah dan pedofilia.

Dalam dunia digital yang tidak mengenal sempadan, kawalan yang kaku bukan melindungi,

tetapi melemahkan keupayaan anak untuk mempertahankan diri.

Dari segi kejiwaan, pemutusan hubungan melalui teknologi telefon pintar ini juga mencetuskan rasa terbiar dan tidak disayangi kepada anak — apalagi jika ibu bapa mereka sibuk berhempas-pulas mencari rezeki.

Kesan emosi dalam jangka panjang boleh membawa kepada masalah kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan dan kebergantungan sosial yang tidak sihat.

Sebuah dasar yang benar-benar melindungi tidak memisahkan keluarga, kawan-kawan dan komuniti daripada kemajuan teknologi, tetapi memperkukuh kefahaman antara institusi pendidikan, masyarakat, ibu bapa dan anak tentang cara menggunakan peranti dengan kasih sayang dan kebijaksanaan.

Adakah kita mahu menyebarkan perasaan syak wasangka antara sesama rakyat Malaysia, melebarkan lagi jurang curiga antara kaum, agama dan menanam rasa cemas dalam hubungan ibu bapa dengan anak-anaknya?

Soalan ini bukan sindiran, tetapi cermin. Kerana masyarakat yang terlalu takut akan kehilangan kawalan, akhirnya akan terhakis kemanusiaan.

Saya yakin keselamatan sebenar tidak datang semata-mata daripada sekatan, tetapi rasa kepercayaan, sifat rahmah dan kasih sayang yang melindungi dari dalam jiwa.

Penyelesaian mungkin pada teknologi juga, ibu bapa boleh bekalkan kanak-kanak bawah umur 16 tahun dengan telefon pintar yang tidak terlalu canggih atau tanpa aplikasi media sosial.

Pelajaran dari Nepal

Lihat apa yang berlaku di Nepal. Apabila kerajaan melarang 26 platform media sosial kononnya untuk mengekang “berita palsu”, ribuan anak muda keluar ke jalan raya. Mereka tidak marah kerana kehilangan hiburan, tetapi kerana merasa suara mereka dibisukan.

Mereka menyusun diri melalui VPN, Discord, dan AI — mencipta video, lagu dan simbol yang menyatukan seluruh generasi. Dalam beberapa hari, protes itu menjatuhkan kerajaan, tetapi meninggalkan korban nyawa dan luka moral yang dalam. Ia bukan sekadar tentang rasuah atau elit politik, tetapi tentang kehilangan ruang untuk maruah manusia muda.

Fenomena itu membuktikan satu hal penting, apabila sistem memaksa diam, teknologi akan mencari jalan untuk berbicara. Maka generasi yang dibesarkan dalam jaringan global akan sentiasa menemui saluran baru di Internet.

Krisis sunyi, luka emosi

Krisis sebenar bukan pada media sosial, tetapi pada perasaan yang tidak diajar dan tidak difahami. Sekolah mengajar formula, tetapi tidak mendidik bagaimana mengurus penolakan, marah atau kecewa. Keluarga bercakap tentang kejayaan, tetapi jarang membincangkan kegelisahan.

Bila semua emosi disekat, jiwa anak muda menjadi tekanan yang menunggu masa untuk meletup.

Sesetengah menzahirkan dengan kemurungan, pengasingan atau pemberontakan.

Ini tanda gangguan kesejahteraan mental yang dipendam lama. Remaja yang tidak mempunyai ruang untuk meluahkan perasaan akan membina dunia batin yang sarat dengan amarah dan kekosongan — dua bahan bakar yang menyalakan tingkah laku ekstrem.

Pendapat mengatakan media sosial merosakkan generasi muda tidak seratus-peratus betul. Dalih kawalan ini telah didengar dan diulang zaman-berzaman; dulu pernah dihebah rancangan televisyen, filem, muzik - terutamanya dari barat - merupakan punca masalah sosial.

Hakikatnya, ramai pelajar menggunakan ruang digital untuk mencari komuniti, hobi, permainan video, pembelajaran, solidariti, sokongan dan pengertian yang tidak mereka temui di dunia nyata. 

Menutup saluran itu tanpa menggantikannya dengan empati dan keperihatinan mendalam seperti menyekat nafas mereka dengan moral orang dewasa hari ini. Moral orang dewasa yang dilihat dengan sinis - rapuh, munafik, palsu, penuh sengketa dan dendam. Teknologi tidak mencipta kekerasan; ia hanya gema atau pantulan dari masyarakat itu sendiri.

Jika pelajar terdedah pada kandungan toksik, barangkali itu kerana kita gagal menyediakan naratif kasih sayang yang lebih kuat. Jika mereka mencari perhatian di media sosial, mungkin sebab dunia sebenar tidak mendengar mereka.

Penyelesaian bukan terletak pada pengharaman, tetapi pendidikan berasaskan kasih sayang dan sifat rahmah. Sekolah seharusnya menjadi makmal nilai — tempat pelajar belajar memahami perasaan, tanggungjawab dan timbang rasa dalam dunia maya. Ibu bapa dan guru perlu menjadi mentor jiwa digital, bukan pengawas.

Ini bukan sekadar isu disiplin pelajar, tetapi refleksi kepada tekanan kolektif: Keletihan ekonomi, ketidakseimbangan sosial serta budaya disiplin - berlebihan menanam rasa bersalah, takut dan malu tanpa asas logik - yang menindas perasaan.

Negara yang matang tidak takut kepada suara anak muda; ia membimbing suara itu supaya menjadi lebih bijak dan berjiwa besar.

Kesejahteraan mental agenda keselamatan 

Kesejahteraan mental mesti diangkat sebagai dasar keselamatan negara. Kerana setiap remaja yang tidak faham dirinya adalah bom waktu sosial.

Kita perlu sekolah yang membina ekosistem penjagaan jiwa — di mana pelajar boleh bercakap tanpa takut, guru dilatih tentang trauma dan masyarakat belajar mendengar tanpa terburu-buru menjadi hakim.

Kesihatan mental bukan lagi isu individu, tetapi struktur sosial — berkait dengan cara kita mendidik, bekerja dan berpolitik. Masyarakat yang sihat tahu cara menyembuhkan luka batin warganya.

Data semasa KKM menunjukkan trend yang membimbangkan dalam kesihatan mental, khususnya dalam kalangan belia. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 melaporkan bahawa dua daripada lima belia mengalami isu kesihatan mental, dengan lebih 400,000 remaja (13–17 tahun) menunjukkan simptom kemurungan. Secara keseluruhan, prevalens masalah kesihatan mental meningkat daripada 7.9 peratus (2012) kepada 13.1 peratus (2022).

Bagi NHMS 2023, dapatan menunjukkan seorang daripada enam kanak-kanak dan remaja (usia 5 ke 15 tahun) mengalami masalah kesihatan mental — dua kali ganda berbanding 2019, menandakan beban yang semakin berat.

Perincian NHMS 2023 turut merekodkan corak kebimbangan berikut:

  • Masalah rakan sebaya (46 peratus): sukar bergaul, tiada kawan rapat, dibuli/tidak disukai rakan sebaya, lebih selesa dengan orang dewasa.

  • Masalah tingkah laku (25 peratus): kerap tantrum, enggan mematuhi arahan, kerap berbohong/menipu, kecenderungan mencuri, kerap bergaduh.

  • Masalah emosi (17 peratus): aduan somatik (contoh sakit kepala), kebimbangan melampau, rasa tidak gembira, gementar, mudah takut.

  • Hiperaktif (8 peratus): gelisah, banyak bergerak, tumpuan mudah terganggu, sukar fokus, tindakan melulu (impulsif).

Kesimpulannya, angka-angka ini bukan sekadar statistik — ia amaran nyata tentang kesejahteraan jiwa generasi muda. 

Marilah kita merenung lebih mendalam realiti ini dan merujuk kearifan pakar psikiatri dan profesional kesihatan mental untuk intervensi yang tepat, berasaskan kasih sayang, sifat rahmah dan bukti ilmiah.

Keterbukaan pada tempatnya yang betul dapat menjadi perlindungan. Anak muda yang mampu bercakap meluahkan masalahnya dan merasa kerisauannya didengar. Anak muda yang jiwanya tenat akan mencari doktor, bila dia tahu dunia ini masih ada penawar untuk menyembuhkan kesakitannya.

Kemanusiaan era digital

Etika hari ini bukan lagi soal mengawal perilaku, tetapi soal memulihkan rasa kemanusiaan. Kita tidak boleh membina masa depan dengan rasa takut kepada generasi baru; kita hanya boleh membinanya bersama mereka — dengan keberanian untuk saling mempercayai.

Jika kita terus menanam dasar pendidikan yang lahir daripada ketakutan, kita akan menuai generasi yang kelihatan taat dan patuh tetapi tanpa jiwa. Namun, jika kita ikhlas menanam dasar berasaskan belas ihsan, kita akan melahirkan generasi yang yakin, bebas, cerdas dan penyayang.

Sejarah membuktikan — setiap kali kuasa cuba menutup suara, manusia belajar bercakap dengan cara baru. Kita boleh memilih jalan lama — melarang, mengawal dan menghukum, atau kita boleh memilih pendekatan yang lebih yakin selaku bangsa merdeka — mendidik, mendengar dan mempercayai generasi muda kita sendiri.

Pendidikan bukanlah tentang menundukkan generasi baru dengan menggunakan alasan tragedi, tetapi mengajarkan mereka bagaimana menjadi manusia yang tidak patuh kepada kebencian dan keganasan. 

Trauma ngeri ini perlukan penyembuhan bukan dengan menutup saluran komunikasi asas, melarang penggunaan telefon pintar. Kawalan mengekang tubuh namun percayalah keyakinan membebaskan jiwa.


RAHMAT HARON ialah penulis, penyair, seniman visual dan performans.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
3
ADS