Tanpa masyarakat India, sejarah Malaysia tidak akan sempurna. Setiap kali cahaya Deepavali menerangi negara, ia mengingatkan kita kepada keberanian dan keikhlasan komuniti ini dalam membina kemerdekaan serta membawa kemajuan kepada seluruh rakyat. Deepavali bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi juga waktu terbaik untuk kita menilai semula jasa besar masyarakat India yang telah menjadi tonggak penting dalam pembinaan negara sejak merdeka.
Sejak awal kemerdekaan, masyarakat India memainkan peranan penting dalam membentuk wajah Malaysia moden. Mereka bekerja di ladang getah, membina jalan raya dan landasan kereta api, berkhidmat di sekolah dan hospital, sebelum akhirnya melangkah ke dunia perniagaan dan kepimpinan. Dari titik peluh mereka, lahirlah kemajuan yang menjadi asas kepada kesejahteraan negara hari ini.
Antara tokoh yang menjadi kebanggaan negara ialah Tun VT Sambanthan, salah seorang daripada bapa pengasas Malaysia. Beliau dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang tenang dan sederhana, serta menjadi jambatan antara kaum ketika negara menuju kemerdekaan.

Hubungan akrabnya dengan Tunku Abdul Rahman terjalin atas dasar kejujuran dan keikhlasan. Pada tahun 1973, ketika Tunku dan Tun Abdul Razak berada di luar negara, beliau dilantik sebagai Pemangku Perdana Menteri selama satu hari. Kepercayaan itu membuktikan betapa tingginya penghargaan kepimpinan negara terhadap keperibadian dan kebolehannya memimpin dengan penuh amanah.
Dalam barisan pemimpin wanita pula, Puan Sri Datin Janaky Athi Nahappan turut menyerlah dalam sejarah negara. Beliau pernah berjuang di bawah pimpinan Subhas Chandra Bose sebagai anggota Tentera Nasional India sebelum menumpahkan bakti kepada tanah air. Keberaniannya melangkaui batas jantina, memperlihatkan semangat seorang wanita yang gigih memperjuangkan kemerdekaan dan keadilan sosial.
Selepas negara mencapai kemerdekaan, beliau terus berkhidmat untuk rakyat dengan memimpin pelbagai badan kebajikan dan memperjuangkan hak wanita. Hubungan eratnya dengan kepimpinan ketika itu, termasuk Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad, menunjukkan penghormatan besar terhadap dedikasi dan kebijaksanaannya dalam memperkukuh suara wanita di pentas nasional.
Sementara itu, dalam bidang pendidikan dan sosial, Rasammah Bhupalan dikenang sebagai pendidik dan aktivis yang menjadikan pendidikan teras perjuangannya. Beliau percaya bahawa pendidikan ialah kunci sebenar kepada keadilan dan kemajuan masyarakat. Semangat juangnya terserlah apabila beliau menyokong dasar Tun Abdul Razak yang memperluas akses pendidikan kepada semua anak bangsa tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Baginya, kemerdekaan tidak bermakna jika masih ada generasi yang terpinggir daripada peluang belajar dan membina masa depan. Hasil usaha dan pandangannya, pendidikan di Malaysia menjadi lebih inklusif dan menjadi asas kepada perpaduan nasional yang kita kecapi hari ini.

Dalam bidang pembangunan negara, sumbangan Tun S Samy Vellu pula tidak dapat dinafikan. Di bawah pentadbiran Dr Mahathir, beliau menjadi tulang belakang pembangunan infrastruktur negara. Lebuh raya dan jambatan yang dibina hasil kepimpinannya bukan sekadar projek fizikal, tetapi simbol kesungguhan membina negara moden yang menghubungkan rakyat dari Perlis hingga ke Johor.
Dalam arena politik dan undang-undang, siapa yang tidak mengenali Karpal Singh, tokoh yang digelar Tiger of Jelutong kerana sifatnya yang lantang dan berani memperjuangkan keadilan. Beliau dikenang sebagai suara rakyat yang tidak pernah tunduk kepada tekanan, seorang peguam dan ahli politik yang menjadikan undang-undang sebagai pelindung kepada kebenaran.
Walaupun sering berbeza pandangan dengan pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketegasan dan keberaniannya menjadikan demokrasi negara ini lebih matang serta membuka ruang kepada budaya politik yang lebih sihat dan bertanggungjawab.
Dalam dunia korporat pula, Tan Sri T Ananda Krishnan membuktikan kemampuan anak Malaysia di pentas antarabangsa. Usahanya dalam bidang telekomunikasi, tenaga dan pendidikan telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara di bawah pentadbiran Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tidak kurang pentingnya, dalam bidang diplomasi, R Vengadesan membawa nama Malaysia ke pentas dunia dengan prinsip kesopanan, hormat dan kerjasama. Beliau menjadi lambang bagaimana rakyat Malaysia mampu menyerlah bukan sahaja di tanah air, tetapi juga di arena antarabangsa.

Sepanjang kerjayanya dalam perkhidmatan luar, beliau dikenali sebagai duta yang menjunjung nilai perpaduan dan toleransi yang menjadi tunjang identiti Malaysia. Pendekatan beliau yang sederhana namun berkesan menjadikan ramai menghormati Malaysia sebagai negara kecil dengan suara yang besar dalam isu kemanusiaan dan keadilan global. Vengadesan tidak hanya mewakili dasar luar negara, tetapi juga membawa semangat rakyat Malaysia yang percaya pada dialog, diplomasi dan saling menghormati.
Dalam bidang seni dan budaya pula, sumbangan masyarakat India terus menyerlah melalui kumpulan legenda Alleycats yang menjadi lambang keharmonian budaya Malaysia. Suara merdu Loga dan David Arumugam mengisi ruang hati rakyat tanpa mengira bangsa atau agama. Lagu-lagu mereka bukan sekadar hiburan, tetapi penyatu perasaan seluruh rakyat Malaysia.

Dalam bidang sukan dan ketahanan diri, M Magendran dan N Mohanadas mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest, pada tahun 1997. Kejayaan mereka mengharumkan nama negara dan membuktikan bahawa semangat dan keberanian tidak mengenal warna kulit atau asal usul.
Semua tokoh ini datang daripada latar dan zaman berbeza, namun mereka berkongsi nilai yang sama, kesetiaan dan semangat berkhidmat kepada tanah air. Mereka tidak mencari kemasyhuran atau ganjaran, sebaliknya menumpahkan tenaga dan bakti untuk melihat Malaysia berdiri teguh sebagai negara yang adil, makmur dan disegani. Nilai inilah yang perlu terus diwarisi oleh generasi baharu agar perjuangan mereka tidak hilang ditelan masa.
Kepada generasi muda, semangat inilah yang perlu dijadikan pedoman. Jangan biarkan perbezaan kaum dan agama memisahkan kita. Malaysia dibina atas asas saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain. Negara yang hebat tidak lahir daripada kebencian atau prejudis, tetapi daripada kesediaan untuk bekerjasama dan memahami.
Anak muda hari ini harus mencontohi keberanian, keikhlasan dan kerja keras tokoh-tokoh terdahulu. Jadilah generasi yang memilih untuk memperbaiki, bukan menghakimi. Malaysia yang kita warisi adalah hasil peluh dan pengorbanan semua kaum, dan masa depan yang lebih cerah menanti jika kita terus bersatu.
Akhir sekali, sempena perayaan Deepavali ini, marilah kita bersama-sama mengucapkan terima kasih kepada seluruh masyarakat India yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Semoga cahaya Deepavali terus menerangi hati kita semua dengan semangat kasih sayang, kejujuran dan perpaduan yang kekal selamanya.
MAHATHIR MOHD RAIS merupakan bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dan kini ahli PKR.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.