Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri letak jawatan jika Putrajaya rayu keputusan 40 peratus hasil Sabah
Diterbitkan:  Oct 19, 2025 5:14 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko) Ewon Benedick menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan daripada kabinet sekiranya kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berkaitan pembayaran semula hasil 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Upko Bahagian Penampang hari ini.

“Saya bersedia untuk mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan demi menghormati dan mempertahankan hak perlembagaan Sabah serta semangat penubuhan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, konvensyen tersebut meluluskan resolusi supaya Ewon mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) tetap memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.

“Perdana menteri, timbalan-timbalan perdana menteri dan rakan-rakan kabinet saya sudah maklum tentang pendirian saya bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak seharusnya memfailkan rayuan.

“Selepas ini, saya akan membawa perkara itu ke mesyuarat minggu depan supaya resolusi dan pendirian parti direkodkan secara rasmi dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Usul tersebut dikemukakan Ketua Bahagian Upko Penampang, Donald Peter Mojuntin, yang berkata bahagian itu menyokong sepenuhnya keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

Donald menegaskan bahawa sebarang tindakan untuk merayu akan bercanggah dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menjejaskan hak kewangan Sabah yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan memihak kepada SLS dalam semakan kehakiman mereka, dan menegaskan bahawa Sabah berhak secara perlembagaan menerima 40 peratus daripada hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu, berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri menyemak serta menyelesaikan tunggakan dalam tempoh 180 hari bagi “tahun-tahun yang hilang” dari 1974 hingga 2021, iaitu tempoh di mana tiada semakan bahagian hasil Sabah dilaksanakan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) kini sedang meneliti keputusan mahkamah tersebut dan akan menentukan sama ada akan memfailkan rayuan atau sebaliknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS