Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hajiji: Jangan biar Sabah jatuh ke tangan mereka yang sudah pun gagal

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, meminta pengundi agar tidak membiarkan Sabah jatuh semula ke tangan pihak yang disifatkan “sudah pun gagal membela rakyat”.

Ketua menteri sementara itu, yang juga presiden parti Gagasan Rakyat, berkata pilihan raya negeri yang bakal diadakan akan menentukan sama ada Sabah terus mara atau kembali kepada ketidakstabilan politik.

“Jangan biarkan Sabah kembali ke tangan mereka yang pernah gagal sebelum ini.

“Kami telah berusaha keras membawa kemajuan dan kestabilan.

“Pihak pembangkang telah pun diberi peluang, namun mereka mensia-siakannya. Kini, mereka hanya tahu bercakap, menuduh dan memecah-belahkan rakyat,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya GRS di Kota Kinabalu pada Ahad.

Hajiji tidak menamakan mana-mana individu dalam ucapannya, namun jelas merujuk kepada parti Warisan dan pemimpinnya, Shafie Apdal, yang tewas dalam pilihan raya negeri Sabah pada tahun 2020.

Kira-kira 20,000 penyokong parti hadir pada majlis pelancaran itu, termasuk presiden-presiden parti komponen GRS, iaitu Anifah Aman (Parti Cinta Sabah), Chin Su Phin (LDP), Joachim Gunsalam (PBS), Pandikar Amin Mulia (Usno) dan Liew Yun Fah (Harapan Rakyat Sabah).

Menurut Hajiji, usaha pembangkang menyebarkan maklumat palsu di media sosial peru ditangani dengan fakta dan disiplin, sambil menyeru semua penyokong GRS agar kekal fokus dan bersatu.

“Mereka terus berusaha mengelirukan rakyat dengan pembohongan dan retorik kosong. Kita mesti lawan hal ini dengan kebenaran.

“Jentera kita mesti bekerja tanpa henti - di lapangan, dalam talian, dan di mana sahaja - untuk menjelaskan isu sebenar kepada rakyat,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan penyokong bahawa pilihan raya akan datang ini “bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi pertarungan demi masa depan Sabah”.

“Kita tidak dipaksa untuk bersatu; kita memilih untuk bersatu.

“Kita datang daripada parti, latar belakang dan kepercayaan yang berbeza, tetapi berkongsi satu misi - melindungi Sabah dan memastikan ia terus makmur,” katanya.

Bercakap kepada media selepas acara tersebut, Hajiji berkata GRS mempunyai jentera pilihan raya yang besar dan meluas di semua daerah, termasuk di peringkat daerah mengundi, namun enggan mendedahkan jumlah sebenar.

“Setiap kawasan ada jenteranya sendiri dan bilangannya kuat. Saya tidak ada angka tepat sekarang, tapi jumlahnya ramai,” katanya.

Dia juga tidak menolak kemungkinan wujud usaha untuk membeli ahli GRS menjelang pilihan raya.

“Mungkin ada tawaran, kita tak pasti. Jika ada, saya akan maklumkan,” katanya sambil tersenyum. “Biarlah mereka bercakap; rakyat tahu kebenarannya,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS