BN Sabah mengingatkan rakyat negeri itu agar tidak terpedaya dengan slogan “Sabah for Sabahan” atau “parti tempatan”, dengan membangkitkan skandal rasuah membabitkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh parti tempatan.
"Kita sudah lihat bagaimana kerajaan GRS yang kononnya parti tempatan gagal membela rakyat, malah dibelenggu video yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri.
"Slogan ‘Sabah for Sabahan’ dan parti tempatan akhirnya hanya jadi perisai untuk menutup kelemahan dan tamak kuasa," kata pengerusinya, Bung Moktar Radin dalam kenyataan hari ini.
Skandal rasuah Sabah terus digegarkan dengan pendedahan klip video yang didakwa menunjukkan Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Joachim Gunsalam berbincang dengan ahli perniagaan Albert Tei mengenai wang.
Konteks penuh perbualan dalam rakaman yang disiarkan di saluran Telegram Edisi Siasat itu tidak dinyatakan dengan jelas, namun difahamkan ia berkaitan dengan projek cari gali mineral yang telah dibatalkan.
Joachim bagaimanapun menegaskan bahawa semua wang yang disalurkan oleh Albert adalah sumbangan politik kepada PBS.
Mengulas lanjut, Bung membangkitkan parti-parti tempatan gagal bersatu walau menyatakan mereka memperjuangkan hak Sabah.
"Hakikatnya mudah, semua mahu berkuasa, bukan berkhidmat.
“Sehingga kini sekurang-kurangnya 10 parti tempatan Sabah yang diiktiraf secara sah pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) namun masing-masing berebut kerusi dan pengaruh. Ini bukan perjuangan rakyat, ini perebutan kuasa,” katanya.
Katanya lagi, rakyat Sabah tidak memerlukan banyak parti untuk meperjuangkan negeri, sebaliknya hanya parti dengan “satu hala tuju yang jujur, stabil dan berpaksikan rakyat”.
"Cukuplah Sabah jadi mangsa slogan politik. Apa yang rakyat mahu bukan laungan kosong tetapi kepimpinan yang bersih, berani dan berkhidmat," katanya lagi.
Kenyataan Bung ini dibuat sebaik selepas GRS pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor melancarkan jentera pilihan raya negeri di Kota Kinabalu hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.