Pertubuhan peguam Lawyers for Liberty (LFL) mengecam cadangan untuk menghidupkan semula hukuman sebat di sekolah, melarang telefon bimbit bagi mereka bawah 16 tahun, serta meningkatkan pemantauan polis — menyifatkannya sebagai tindak balas yang “dangkal dan tergesa-gesa” terhadap kes jenayah kejam yang melibatkan pelajar perempuan baru-baru ini.
Pengarah LFL, Zaid Malek berkata langkah kerajaan yang diumumkan susulan pembunuhan seorang pelajar dan kejadian rogol beramai-ramai terhadap seorang lagi di kawasan sekolah, tidak menyentuh punca sebenar keganasan tersebut.
“Langkah-langkah ini tidak berkesan, terburu-buru, dan hanya reaksi spontan yang memberikan ilusi palsu seolah-olah masalah sedang ditangani,” kata Zaid dalam kenyataan hari ini.
“Bagaimana hukuman rotan boleh mencegah rogol atau bunuh? Adakah melarang telefon akan menangani seksisme yang mendorong jenayah sebegitu?”

Dia turut mempersoalkan dakwaan bahawa media sosial dan permainan dalam talian menjadi punca kejadian tersebut, sambil menegaskan tiada bukti kukuh yang menyokong kaitan sedemikian.
“Isu serius memerlukan penelitian yang mendalam, bukan reaksi spontan untuk mengelak tekanan politik.
"Dasar tidak akan berkesan selagi tiada usaha mengenal pasti akar masalahnya,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan remaja bawah 16 tahun mungkin akan dilarang menggunakan telefon pintar, sebagai sebahagian langkah kerajaan untuk membendung peningkatan kes buli dan keganasan di sekolah.

Anwar berkata langkah itu merupakan antara tiga tindakan segera yang dicadangkan kabinet bagi menangani isu tersebut.
Zaid turut menegaskan punca sebenar terletak pada seksisme sistemik dan prasangka terhadap wanita yang terus menyemarakkan keganasan berasaskan jantina.
Dia merujuk kepada kenyataan polis Kelantan baru-baru ini yang mencadangkan pelajar perempuan terlibat dalam kes rogol statutori boleh dikenakan tuduhan bersama dengan lelaki dewasa yang menjadi pelaku — satu idea yang kemudian disokong oleh mufti negeri.
“Ini menunjukkan kekurangan kesedaran asas tentang undang-undang perlindungan kanak-kanak, bahkan dalam kalangan pegawai kanan,” kata Zaid.
'Henti salahkan media sosial’
Menurutnya kegagalan kerajaan mengambil pendirian tegas terhadap kenyataan sebegitu hanya akan mengukuhkan sikap misoginis dalam institusi yang sepatutnya melindungi mangsa.
Zaid turut menggesa kerajaan supaya menghentikan langkah separuh masak dan menumpukan perhatian kepada punca sebenar — seksisme dalam masyarakat dan dalam institusi kerajaan sendiri.
“Jika kerajaan terus menyalahkan media sosial dan permainan dalam talian, maka kebimbangan awam terhadap keselamatan anak-anak mereka — khususnya pelajar perempuan — sama ada di sekolah atau di luar sekolah, adalah berasas,” katanya.