Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Rafizi dan Wan Saiful: Dua reformis kempunan dek kuasa feudal

ULASAN | Dalam PKR, demokrasi dilihat masih hidup walaupun ada yang nampak seperti hidup segan mati tak mahu.

Rafizi Ramli tampil sebagai suara reformasi yang mahu memulihkan semangat asal parti, dengan menentang budaya jalan pintas untuk ahli baru bertanding nak ke tampuk kuasa. 

Dia pernah menegur parti sendiri secara terbuka, dan menariknya, masih kekal sebagai Timbalan Presiden. Itu sendiri menjadi suatu indikasi bahawa dalam PKR masih membenarkan pertikaian tanpa dipanggil menghadap lembaga disiplin.

Namun begitu, realiti PKR sering berputar dalam kitaran lama. Reformasi yang dilaungkan kini lebih seperti slogan bermusim, oleh orang-orang yang bukan dari DNA reformasi.

Pertembungan antara kem Rafizi dan kem Anwar menerusi anaknya, Nurul Izzah, adalah manifestasi antara idealisme dan realpolitik yang menjadi ritual tetap setiap kali pemilihan.

Ya, PKR membenarkan pertandingan terbuka, tetapi bukan semestinya ia satu perubahan. Sebaliknya: pementasan drama demokrasi.

Demokrasi dalam Bersatu

Di sebelah sini, Bersatu pula sedang berdepan gelombang dalaman yang lebih senyap tetapi meluas. Ibarat tsunami yang arusnya datang dari lantai laut, dari segenap penjuru.

Kumpulan Wan Saiful Wan Jan cuba mencabar status quo dan mengajak kepada “penyegaran semangat asal perjuangan”, mengembalikan fikrah parti demi memimpin rakyat. 

Namun, di bawah kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin, parti itu bertindak balas dengan gaya ala ‘gestapo’, iaitu memilih tindakan disiplin daripada mengambil sikap demokratik. Dengan kata lain, tindakan lembaga disiplin kini sebagai bahasa rasmi parti.

Bersatu ditubuhkan atas semangat menolak budaya feudal Umno tetapi kini menghidupkan semula feudalismenya dalam bentuk moden — dengan Presiden sebagai simbol kesetiaan mutlak.

Jika PKR bertengkar di depan umum tetapi kekal berparti, Bersatu pula nampak tenang di mata umum tetapi di dalam parti, menikam reformis.

Isu sama, layanan berbeza

Dalam PKR, perbezaan pandangan dilayan sebagai meraikan demokrasi. Dalam Bersatu, perbezaan pandangan dianggap mengancam institusi presiden. 

Dalam PKR, Rafizi masih boleh berkempen dan mengkritik dasar partinya sendiri di hadapan media atau pentas ceramah.

Tetapi Wan Saiful, yang hanya dengan mengadakan sudang media untuk menerangkan duduk perkara, terus dipanggil ke jawatankuasa disiplin atas aduan dan tuduhan ingin menjatuhkan presiden.

Perbezaan ini menunjukkan bahawa PKR, walaupun kacau-bilau, masih bernafas sebagai parti dengan ruang perdebatan yang rasional. 

Sedangkan Bersatu pula, walaupun nampak tak sehiruk PKR, hakikatnya semakin menyerupai kelab eksklusif yang memberhalakan presiden tanpa soal.

Demokrasi atau dekorasi?

Realitinya, demokrasi dalam parti politik Malaysia sering kali menjadi hiasan. Atas perhiasan ini juga, kita boleh lihat dengan jelas betapa hanyutnya parti politik.

Anwar memotretkan PKR kelihatan lebih demokratik, tetapi banyak keputusan masih berlegar di sekeliling pengaruh keluarga dan personaliti yang digemarinya.

Muhyiddin pula dilihat lebih feudal daripada Umno dengan menggunakan lembaga disiplin sebagai alasan untuk menolak perbezaan pandangan — seolah-olah kesetiaan lebih penting daripada kebenaran.

Secara objektifnya, ‘perhiasan PKR kini lebih demokratik berbanding Bersatu, sekurang-kurangnya dalam bentuk dan peluang bersuara.

Namun, kedua-duanya masih belum lulus ujian reformasi sebenar iaitu menghormati perbezaan tanpa takut dipecat.

Rafizi mungkin reformis yang masih boleh bersuara dari pentas parti, sementara Wan Saiful juga sebagai reformis yang kini disepak keluar dari parti seperti sampah.

Kedua tokoh ini berhajat yang sama iaitu untuk perkukuh parti masing-masing, cuma nasib Rafizi lebih baik kerana Anwar lebih bijak bermain politik berbanding Muhyiddin.


MAHDZIR IBRAHIM merupakan ahli Bersatu Bahagian Bangi, Cawangan UKM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS