Ahli perniagaan, Albert Tei mencabar pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Joachim Gunsalam untuk mendedahkan akaun kewangan parti itu yang sudah diaudit, bagi membuktikan RM600,000 yang diterimanya benar-benar merupakan sumbangan politik dan bukan rasuah.
Menurut Tei, ini merupakan kali ketiga dia menggesa Timbalan Ketua Menteri II Sabah itu untuk mengemukakan dokumen seperti surat, transaksi bank atau resit bagi menyokong dakwaan bahawa wang tersebut adalah sumbangan politik yang sah.
“Saya mencabar Joachim Gunsalam mengemukakan audit akaun kewangan partinya, PBS untuk menunjukkan di mana tempat nama saya tercatat memberikan sumbangan politik yang dikatakannya,” kata Tei dalam kenyataan hari ini.
Dia mendakwa RM600,000 yang disalurkan kepada Gunsalam adalah untuk kepentingan peribadi dan bukan bagi aktiviti parti seperti yang dinyatakan.
“RM600,000 disalurkan kepada Joachim Gunsalam dibalas dengan lesen mencarigali mineral. Jika wang tersebut adalah sumbangan ikhlas yang dikatakannya, tidak wujud sebarang balasan.
“Apabila pembayaran kepada beliau dibalas dengan sesuatu barang, bermakna tindakan tersebut bukan sumbangan, ia adalah rasuah,” katanya lagi.
‘Sumbangan politik jadi perisai?’
Tei turut mengkritik apa yang disifatkannya sebagai tafsiran undang-undang secara terpilih, dengan mendakwa pemimpin politik kini boleh berlindung di sebalik label “sumbangan politik” untuk mengelak dakwaan rasuah.
“Undang-undang di negara kita agak istimewa, pemimpin politik kerajaan terlibat rasuah dengan bukti rakaman video tapi ia boleh dimanipulasikan sebagai sumbangan politik.

“Pada masa akan datang, alasan sumbangan politik akan dijadikan sebagai pingat kekebalan kepada ahli politik yang ditangkap makan rasuah.
“Mereka kini boleh bebas makan rasuah. Sekiranya ditangkap oleh SPRM, dengan alasan sumbangan politik mereka kebal daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Tei mendakwa dia telah membuat pembezaan dengan jelas antara dana untuk sumbangan politik dan dana untuk urusan peribadi sejak mengenali Gunsalam pada 2022.
Dia mempersoalkan mengapa Gunsalam masih belum mengemukakan sebarang dokumen bagi menyokong naratifnya, walaupun telah beberapa kali dicabar.
“Adakah dia berasa malu kerana banyak kali dicabar tetapi gagal mengemukakan sebarang dokumen sehingga hari ini?”
Semalam, saluran Telegram pendedah maklumat Edisi Siasat menyiarkan satu klip video yang didakwa menunjukkan Gunsalam berbincang dengan Tei mengenai wang.
Menurut kapsyen pada permulaan klip dan cap masa (timestamp) video tersebut, perbincangan itu didakwa berlaku tahun lalu di pejabat Gunsalam di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah di Kota Kinabalu.
Konteks penuh perbualan itu tidak dinyatakan dengan jelas, namun difahamkan ia berkaitan dengan projek cari gali mineral yang telah dibatalkan.
"Saya ada bagi Datuk RM550,000 semua. Saya ada tengok balik akaun, sebelum saya jumpa Datuk saya ada tengok balik akaun. Saya sudah bagi Datuk 550,000. Ada sekali RM300,000, ada sekali RM150,000, ada sekali RM50,000, di KL ada RM50,000.
"RM550,000 saya sudah bagi Datuk. Saya bagi Datuk tu wang kecil, ok. Ini RM11 juta tau, saya mesti kena saman punya, semua akan cakap saya penipu,” Albert kedengaran berkata kepada Joachim.
Bagaimanapun, Gunsalam menegaskan semua wang yang disalurkan oleh Tei adalah sumbangan politik untuk PBS.
Gunsalam memberitahu Malaysiakini yang dia tidak ingat jumlah sebenar yang diterima daripada Tei setakat ini, namun menafikan jumlahnya mencecah RM600,000.
Gunsalam berkata PBS juga bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu.