Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Budak Melayu menang pertandingan lagu Cina curi perhatian

“Ayah, Farina menang!” spontan saja seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun memberitahu bapa, Muhamad Haikal Izmi, sehingga membuatkan lelaki terbabit terpaku seketika.

Ariana Farina – anak sulung pasangan Haikal dan Siti Fatimah – dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian di tadikanya di George Town, Pulau Pinang baru-baru ini. Ia menjadi lebih istimewa kerana pertandingan itu memerlukan peserta menyanyi lagu Mandarin.

Kisah kemenangan Ariana Farina itu menjadi tular selepas Haikal memuat naik pengalaman tersebut di platform Threads.

Kata Haikal, sebenarnya dia “segan" untuk berkongsi kisah itu kerana mengenangkan anak kawan-kawannya memperoleh kejayaan yang lazim untuk masyarakat Melayu seperti tilawah atau hafazan al-Quran.

Sedangkan Ariana Farina memperoleh pengiktirafan kerana menyanyi lagu Cina.

Pun begitu, kisah keluarga tersebut tetap mencuri perhatian ribuan orang dan mendapat pujian daripada netizen yang terharu melihat keterbukaan budaya yang diamalkan oleh keluarga terbabit.

Menceritakan pengalamannya kepada Malaysiakini, Haikal berkata, Ariana Farina mula menunjukkan minat terhadap bidang nyanyian sejak kecil, namun tidak disangka kanak-kanak itu mampu menyanyikan lagu Mandarin dengan sebutan dan lenggok yang tepat.

Kata Haikal, Ariana Farina mula belajar bahasa Mandarin ketika berusia empat tahun melalui tuisyen persendirian setiap minggu, selain bimbingan guru di tadika.

“Ibu dia yang banyak membantu membetulkan sebutan lagu Mandarin tu, guna panduan lagu di YouTube,” katanya.

Ariana Farina kini belajar di tadika dan bakal melangkah alam persekolahan sebenar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Tek (A) di George Town pada tahun depan.

Apabila ditanya kenapa memilih untuk menghantar anaknya ke SJKC, Haikal berkata mereka membuat keputusan tersebut kerana isterinya, Siti Fatimah Nabihah, juga merupakan keluaran dari sistem sekolah yang sama.

Rasa sangat gembira

Kata Haikal, Siti Fatimah berpendapat menguasai bahasa Mandarin selain bahasa ibunda adalah kelebihan untuk masa depan Ariana Farina yang boleh membantunya dari segi kerjaya.

Siti Fatimah sendiri, kata Haikal, bekerja dengan sebuah syarikat China yang memerlukan kemahiran insani (soft skill) serta dan komunikasi yang baik.

“Farina sendiri sendiri yang nak masuk pertandingan nyanyian tu, dan kami pun terkejut apabila cikgu kata dia menang tempat pertama,” katanya teruja.

Menurut jurutera teknologi maklumat itu, dia dan isteri tidak hadir semasa pertandingan berlangsung kerana ia dikhususkan untuk pelajar tadika.

Mereka hanya mengetahui keputusan selepas anaknya pulang bersama trofi kemenangan.

“Dia kata mula-mula kalah (untuk bergurau), tapi lepas tu tunjuk trofi. Saya pun terus pos di Threads sebab terlalu gembira,” katanya lagi.

Tambah Haikal, dia berbuat demikian tanpa menyangka akan mendapat reaksi yang meluas dan positif daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah tidak berhajat untuk menjadi tular.

“Kami cuma nak kongsi rasa bangga, tapi apabila ramai yang mengucap tahniah, saya rasa terharu sebab semua orang melihat kisah ini dari sudut perpaduan,” katanya.

Bagi Haikal, kisah anaknya itu membuktikan bahawa perpaduan tidak semestinya perlu dipaksa dengan slogan, sebaliknya boleh bermula dari minat kecil dan keikhlasan untuk belajar tentang budaya lain.

“Saya rasa penting untuk anak-anak Melayu belajar bahasa dan budaya lain. Dari situ mereka faham semua kaum sama rata, tiada yang lebih tinggi atau rendah,” ujarnya.

Dia juga percaya, jika lebih ramai ibu bapa membuka ruang kepada anak-anak untuk belajar tentang budaya lain, masyarakat Malaysia akan lebih bersatu dan saling menghormati.

Bagi Haikal, kemenangan Ariana Farina bukan sekadar soal menggenggam trofi, malah lebih daripada itu, ada nilai yang lebih besar — bahawa Malaysia masih punya harapan jika anak-anak negara ini dibesarkan dengan kasih, hormat dan keterbukaan.

“Kalau satu hari nanti dia dapat nyanyi lagu Cina dalam acara kebangsaan, itu bukan saja kebanggaan untuk kami, tapi untuk negara juga,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS