Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap pembebasan aktivis politik Wan Azri Wan Deris, lebih dikenali sebagai Papagomo.
"Setelah mempertimbangkan keputusan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tersebut, jabatan ini akan memfailkan notis rayuan untuk merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Awal hari ini, Wan Azri dibebaskan daripada kes hasutannya, berhubung dakwaanya bahawa kerajaan pro-Israel tahun lepas.
Peguamnya Rafique Rashid Ali berkata hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati tiada kes prima facie terhadap Wan Azri.

Pada masa sama, timbalan pendakwa raya Mustaffa P Kunyalam berkata mereka sedang mempertimbangkan dan mengkaji kemungkinan memfailkan rayuan terhadap penghakiman itu.
Wan Azri, 42, pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, pada 8 Jan tahun lepas, di mana dia dituduh membuat kenyataan itu, yang disiarkan pada 8 Nov 2023, oleh pengguna Facebook Halid Hamidi (Halid Mat Kool).
Dakwaan itu kemudian dilihat oleh ahli Bersatu Hisham Sharudin, yang dahulunya daripada Umno, membawa kepada pertuduhan terhadapnya.
Dia didakwa di hadapan hakim N Priscilla Hemamalini, dan perbicaraan, yang bermula sekitar Julai tahun lalu, didengar di hadapan Siti Aminah.
Di bawah undang-undang, kesalahan kali pertama dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan seterusnya akan menyaksikan hukuman penjara dinaikkan kepada maksimum lima tahun.