Pakar patologi utama yang menjalankan bedah siasat ke atas Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa adalah tidak mungkin pelajar itu terjatuh secara tidak sengaja dari tingkat tiga asramanya.
Dr Jessie Hiu, 58 berkata ukuran ketinggian dari lantai ke bahagian paling atas palang logam mendatar yang dipasang pada penghadang konkrit di tingkat tiga adalah 118 cm, manakala ketinggian Zara adalah 154cm.
Ini menjadikan penghalang itu lebih tinggi daripada pusat graviti mangsa.
"Perbezaan antara ketinggian si mati dan bahagian paling atas palang logam mendatar itu ialah 36 cm. Ketinggian palang logam terbabit melebihi tiga perempat daripada ketinggian remaja itu dan mungkin melebihi pusat graviti badannya. (Bagi wanita, pusat graviti biasanya terletak di kawasan pelvis, selalunya sedikit di bawah pusat badan ketika dalam posisi berdiri).
“Berdasarkan ukuran itu, saya berpandangan tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah penghadang konkrit di sepanjang koridor.
“Berdasarkan ketinggian dan lebar penghadang konkrit, ketinggian palang logam mendatar serta ketinggian si mati, ada kemungkinan dia memanjat penghadang konkrit, melintasi palang logam tersebut, dan berdiri di atas penghadang konkrit,” katanya ketika membaca kenyataan saksi hari ini.
Hiu merupakan saksi pertama dalam inkues kematian Zara. Dia menambah, walaupun secara fizikal Zara boleh melepasi penghalang dengan cara memanjat, kejatuhan daripada posisi berdiri tidak boleh berlaku.
Saksi pertama itu juga memaklumkan kepada inkues bahawa pemeriksaan di tempat kejadian telah dijalankan pada 2 Ogos, bermula pada 12.30 tengah hari di Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratua’yun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Kinarut.
“Saya diminta untuk memberikan pendapat profesional mengenai kecederaan si mati sebelum kematiannya.
“Saya telah meneliti rekod perubatannya termasuk radiograf, laporan imbasan tomografi berkomputer (CT) dan angiografi tomografi berkomputer (CTA) serta menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian,” katanya.
Cedera sebelum mati
Bedah siasat mendedahkan enam kecederaan antemortem — iaitu kecederaan dialami ketika masih hidup. Ini termasuk luka luaran dan trauma dalaman yang konsisten dengan kejatuhan dari tempat tinggi.
Zara turut mengalami koyakan di belakang kepala dengan pendarahan pada permukaan otak yang menyebabkan pembengkakan dan ensefalopati hipoksia. Pergelangan tangan kiri dan lengan bawahnya cacat akibat patah serta terkehel, manakala calar dikesan di sekitar siku.
Dia juga mengalami kecederaan akibat patah tulang kaki, termasuk keretakan berganda pada kedua-dua tulang tibia, patah tulang tumit kiri, dislokasi sendi buku lali kiri dan lebam pada kaki.
Trauma dalaman lain termasuk patah tulang vertebra lumbar kedua hingga keempat, pendarahan pada otot psoas kiri dan hematoma setempat pada pelvis.
Selain itu, doktor itu juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa mayat Zara Qairina berada pada tahap pereputan sederhana hingga lanjut dan keadaan itu selari dengan tempoh pengebumian di dalam tanah.
“Walaupun mayat telah mengalami pereputan, tisu-tisu kecuali otak masih dalam keadaan agak baik, membolehkan pemeriksaan bedah siasat luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan,” katanya sambil menambah pemeriksaan itu menunjukkan terdapat luka jahitan di bahagian belakang kepala, tanpa sebarang patah tulang tengkorak atau muka.
“Otak menunjukkan perubahan likuifaktif disebabkan pereputan dan tidak dapat dinilai. Bahagian bawah lengan kiri, pergelangan tangan kiri, tangan kiri serta jari kelima kiri mengalami lebam dengan kecacatan pada lengan bawah dan pergelangan tangan kiri akibat patah tulang radius distal kiri dan terpaling pada sendi pergelangan tangan,” katanya.
Dr Hiu turut merekodkan patah tulang sternum, yang dijelaskan sebagai patah pasca-mortem — berlaku selepas kematian. Tiada kecederaan dikesan pada organ dada, abdomen atau pelvis, dan tiada tanda trauma pada bahagian kemaluan atau dubur.
Urutan kejatuhan
Menggambarkan urutan kejatuhan, Hiu memberitahu mahkamah bahawa Zara kelihatan mendarat terlebih dahulu dengan kaki kiri, kemudian kanan, sebelum terjatuh ke belakang ke sisi badannya dan terhentak di belakang kepala.
“Selepas hentakan, dia jatuh ke belakang, terutamanya pada bahagian kiri, menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan kiri, lengan bawah kiri, siku kiri, dan belakang kepala,” katanya.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Badiuszaman Ahmad jika kecederaan itu menunjukkan penderaan fizikal kronik, D Hiu menegaskan coraknya konsisten dengan kejatuhan.
Dia menjelaskan bahawa dalam kes serangan, kecederaan biasanya bertaburan di seluruh tubuh dengan tahap penyembuhan berbeza, sedangkan kecederaan Zara terkumpul dan dapat dijelaskan melalui dua mekanisme trauma — hentakan langsung ketika jatuh dan kesan menyebabkan kerosakan dalaman seperti pendarahan otak.
Dr Hiu berkhidmat sebagai pakar patologi forensik di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu sejak 1998.
Secara purata, pakar itu mengendalikan dan menyelia antara 100 hingga 150 bedah siasat setahun.
Dia juga pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar secara purata 10 hingga 15 kali setahun di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.
Zara pula ditemui dalam keadaan parah pada 16 Julai dan meninggal dunia sehari kemudian di hospital akibat kecederaan otak traumatik teruk.
Jenazahnya kemudian digali semula untuk bedah siasat pada 9 Ogos selepas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC), memandangkan tiada bedah siasat dilakukan pada awalnya.
Prosiding inkues bagi menentukan punca kematiannya dikendalikan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan sebagai koroner.
Sekitar 68 saksi dijangka memberi keterangan, termasuk lebih 30 kanak-kanak. Lawatan ke lokasi kejadian — sekolah agama di Papar — turut dijadualkan pada 11 Sept.
Mahkamah ditangguhkan sekitar jam 4.45 petang tadi dan akan bersambung semula esok pada jam 9 pagi.