Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN diminta teliti aspek keselamatan majlis libatkan Raja-Raja
Diterbitkan:  Sep 3, 2025 5:15 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta meneliti langkah bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan pada sambutan keraian melibatkan raja-raja bagi mengelak kejadian cubaan menyerang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Ahad lepas, berulang.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata isu keselamatan itu dibangkitkan pada Mesyuarat Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

“KDN telah diminta untuk meneliti aspek-aspek mempertingkatkan keselamatan terutama bagi raja-raja supaya tidak berlaku apa-apa keadaan yang tidak diingini,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Ahad lepas, polis menahan seorang wanita tempatan yang cuba menyerang Sultan Nazrin di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Ipoh.

Wanita yang mempunyai rekod rawatan psikiatri itu ditahan pengawal keselamatan bertugas selepas masuk melalui tepi pentas ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Sambutan Hari Malaysia akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA) pada 16 Sept.

Beliau berkata sambutan rasmi diadakan pada sebelah malam manakala sebelah siang akan diisi dengan Majlis Mengenang Negarawan yang menelusuri sejarah dan sumbangan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Acara ini akan berlangsung di Bertam, maklumat lanjut akan disediakan kemudian. Program mengenang negarawan ini diusahakan oleh Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS