Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes rasuah RM2.8 juta: Bung dakwa tak toleransi dengan rasuah
  • Dikemas kini dengan olahan semula berita.


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin tidak akan sesekali berkompromi atau bertolak ansur walaupun sedikit dengan amalan rasuah.

Perkara itu muncul semasa pemeriksaan balas oleh timbalan pendakwa raya Law Chin How, ketika Bung berkata prinsip yang sama juga terpakai untuk pegawai, rakan-rakan dan anggota keluarganya.

Bung bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa dia tidak boleh dipengaruhi oleh sesiapa dan tidak akan membenarkan sesiapa mengambil kesempatan atau bertindak melaluinya.

"Ini adalah perkara penting kerana ia menunjukkan kamu seorang yang berintegriti dan tidak berkompromi apabila melibatkan isu rasuah," kata Low kepada Bung, yang bersetuju.

"Kamu seorang yang jujur dan tiada apa yang hendak disembunyikan," kata Low kepada Bung, yang sekali lagi bersetuju.

Bung berkata isteri keduanya, Zizie Izette A Samad, juga memahami prinsipnya sebagai seorang yang teguh pada integriti.

Wanita itu juga, katanya, tidak bertolak ansur dengan amalan rasuah.

Anggota parlimen Kinabatangan juga bersetuju dengan cadangan pendakwa raya bahawa Zizie tidak akan melakukan apa-apa untuk menjejaskan reputasinya sebagai ahli politik, dan akan sentiasa memastikannya tidak melakukan apa-apa yang boleh mengundang tuduhan atau skandal terhadapnya, terutamanya yang melibatkan rasuah.

Dia selanjutnya bersetuju bahawa Zizie tidak akan mengorbankan maruahnya atau keluarga demi wang, dan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap wanita itu jika situasi sedemikian timbul.

Ini adalah hari kedua Bung memberi keterangan di hadapan hakim Rosli Ahmad bagi membela diri terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah RM2.8 juta daripada ejen Public Mutual Norhaili Ahmad Mokhtar dan rakan perniagaannya Madhi Abd Hamid untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam dana unit amanah Public Mutual.

Dia didakwa menerima dana itu pada tiga majlis berasingan pada 2015, dengan pertuduhan difailkan di bawah Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Zizie menghadapi tiga pertuduhan bawah Seksyen 28(1) Akta itu kerana didakwa bersubahat. Wanita itu juga diperintah untuk membela diri.

Terkejut Zizie didakwa terima RM2.8 juta

Bung memberitahu mahkamah bahawa dia terkejut bila mengetahui dakwaan bahawa Zizie menerima dana itu pada 2015, tetapi tidak membuat laporan polis mengenai dakwaan itu.

"Zizie tidak pernah memberitahu saya apa-apa tentang perniagaanya, dan saya hanya tahu tentang dakwaan itu apabila saya disiasat oleh SPRM.

"Tetapi saya tidak melakukan apa-apa pada masa itu (termasuk membuat laporan polis) kerana kami sudah disiasat pada masa itu," kata Bung.

Perbicaraan bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS