WAWANCARA | Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin tanpa berselindung meminta pengundi negeri itu mempertimbangkannya sebagai ketua menteri, menjelang persiapan pilihan raya negeri ke-17.
“Apa kata cuba saya (sebagai ketua menteri),” kata Ahli Parlimen Kinabatangan enam penggal itu, yang juga memegang kerusi DUN Lamag, semasa penampilan di podcast KiniTV.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata rakyat Sabah harus menilai rekod prestasi pemimpin yang mengintai jawatan itu, terutamanya Ketua Menteri Hajiji Noor, yang pentadbiran pimpinan Gabungan Rakyat Sabah sering mendapat kritikan.
"Terus teranglah, saya bukan tidak suka sama dia sebab kami berkawan. Tapi kepimpinan dia tidak membawa banyak perubahan kepada kemakmuran negeri Sabah.
"Dia gunakan slogan Sabah Maju Jaya. Di atas besar Sabah Maju Jaya tapi di bawah jalan raya berlubang. Air tidak ada. Api elektrik satu hari lapan kali mati. Jadi kalau ini kepimpinan dia dan dia menawarkan diri lagi, saya rasa rakyat Sabah telah bijak menilai pemimpin mana yang mereka perlu angkat untuk membawa Sabah," kata Bung.
Data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya merekodkan jumlah pemilih berdaftar di Sabah meningkat kepada 1,779,839, berbanding 1,124,598 pada pilihan raya negeri Sabah yang lalu pada 2020.
Bung berkata Presiden Warisan Shafie Apdal, yang telah mengisytiharkan rancangan untuk partinya bertanding kesemua 73 kerusi secara solo, juga pernah berkhidmat sebagai ketua menteri.
"Dan kami lihat sebetulnya, Shafie pun sudah pernah jadi ketua menteri, Hajiji pun sudah pernah, yang lain-lain pun pernah, saya belum pernah," katanya.
Ahli parlimen veteran itu kemudiannya menceritakan urusannya dengan Hajiji selepas Hajiji mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di Istana Negeri pada 29 Sept 2020.
Bung teringat bahawa dia pada mulanya dinamakan sebagai timbalan ketua menteri I dan menteri kerja raya dalam perjanjian dengan Bersatu, tetapi sebaliknya mengangkat sumpah sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
"Hari pertama dia sudah tipu saya. Dan saya pada ketika itu, saya tidak reda, tetapi saya angkat sumpah sebab di depan Tuan Yang Terutama (TYT), depan istana, dalam istana.
"Tapi selepas saja angkat sumpah, TYT berangkat balik, saya balik ke rumah saya, saya telefon Hajiji, 'you tak tukar dalam masa sejam kami BN akan bubar ini kerajaan kami akan tarik diri.' Kemudian dia tukar," kata Bung.
Bung menuduh Hajiji meneruskan "penipuan demi penipuan" yang akhirnya mendorong Umno dan BN keluar daripada kerajaan GRS pada 2022.
Dia seterusnya mendakwa bahawa kekal dalam pentadbiran mungkin menyaksikan pemimpin Umno terlibat dalam skandal, termasuk perjanjian penerokaan mineral yang kini menjadi kontroversi.
Menurut Bung, yang kini membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkaitan peranannya sebagai bekas pengerusi bukan eksekutif Felcra, kekayaan alam Sabah perlu dimanfaatkan secara telus dan adil untuk memulihkan keyakinan rakyat dan mewujudkan peluang pekerjaan.
"Kita akan melakukan secara telus dan mewujudkan satu badan khas di bawah Yayasan Sabah untuk meneroka mineral
ini dan kita akan mewujudkan satu tabung diberi nama tabung kekayaan rakyat negeri Sabah.
"Dan ini akan kita wujudkan dan keuntungan itu nanti akan kita pulangkan kepada rakyat Sabah," katanya, menjanjikan pelaksanaan serta-merta sebaik sahaja memegang tampuk kuasa.
Bung juga menegaskan keikhlasan kepimpinan lebih penting daripada gabungan yang mentadbir.
"Sebab kerajaan itu sendiri pun kalau tidak ada komitmen untuk membangun rakyat, tidak mengubah hala tuju nasib rakyat Sabah itu, akhirnya Sabah ini akan terus menjadi negeri termundur dan termiskin sampai bila-bila. 60 lebih tahun. Bayangkan.
"Jadi saya memang bertekad dengan rakan-rakan untuk mengubah keadaan ini, membawa Sabah ke mercu kejayaan yang lebih baik daripada negeri-negeri yang lain," katanya.
Pilihan raya negeri, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 7 Dis 2025, dijangka menyaksikan pakatan politik akan bertukar dan pertandingan pelbagai penjuru, dengan GRS dijangka bertembung dengan BN walaupun pakatan “cinta segi tiga” mereka bersama PH.