Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim membidas tindakan pihak tertentu yang membangkitkan sentimen perkauman dan agama susulan insiden seorang wanita cuba mengganggu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Kamil menegaskan mereka yang memainkan isu sedemikian demi agenda politik untuk mencetuskan kebencian sedang melakukan “kerja iblis.”
"Kadang-kadang kita pun bingung tengok gelagat sebahagian mereka ini. Cakap tentang soal Melayu tapi adab tata susila orang Melayunya entah ke mana.
"Cakap tentang soal Islam, kebencian terhadap orang lain semakin menebal," katanya.

Insiden itu berlaku pada 31 Ogos lalu ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.
Namun, pada 1 September, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar (gambar atas) menafikan spekulasi seorang wanita berbangsa Cina ditahan.
Sebaliknya, polis mengesahkan suspek adalah seorang wanita Melayu berusia 41 tahun yang mempunyai rekod berkaitan dadah serta sejarah rawatan psikiatri.
Mengulas lanjut, Kamil berkata dakwaan mengelirukan yang menyatakan wanita itu sebagai etnik Cina telah mewarnai insiden tersebut dengan mesej perkauman.
"Mesej tersiratnya mungkin 'tengok ni orang Cina sudah berani menyerang raja Melayu' secara fizikal," katanya lagi.

Kamil turut menyelar tindakan Ketua Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri (gambar atas) yang memuat naik dakwaan tersebut di media sosial sehingga tular.
Bagaimanapun, Hafez yang juga Adun Manjoi kemudian memadam hantaran berkenaan selepas menerima kritikan dan memohon maaf secara terbuka.
Susulan permohonan maaf itu, Kamil mengucapkan terima kasih kepada Hafez kerana mengakui kesilapannya namun menegaskan “kerosakan telah berlaku.”
"Berlaku adil pada semua orang tanpa kira warna kulit faham agama kerana ini adalah tuntutan agama.

"Dalam kita menghayati semangat bulan kemerdekaan ini jagalah perpaduan bersama kita dengan baik sebarkan salam hormat di antara satu dengan yang lain dan jadilah warga yang berhemah berilmu dan punya sahsiah yang baik," katanya lagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan telah merakamkan kenyataan Hafez yang juga Adun Manjoi berhubung hantaran palsu itu.
MCMC menegaskan maklumat tersebut “tidak benar dan berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.”
Selain itu, Pemuda DAP Pulau Pinang dan Negeri Sembilan turut membuat laporan polis, menggesa siasatan dijalankan terhadap Hafez.
Hafez mendakwa hantaran Facebooknya mengenai suspek sebagai “wanita berbangsa Cina” itu berdasarkan “maklumat awal” yang diperolehnya.
Dia berkata hantaran itu telah dibetulkan “beberapa minit” selepas diterbitkan namun mendakwa pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan tangkap layar asal dengan niat jahat.