Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tubuh pasukan khas teliti RUU PSB, diketuai Jo Ghani
Diterbitkan:  Sep 3, 2025 4:21 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Umno mengumumkan Naib Presidennya Johari Abdul Ghani untuk mengetuai pasukan khas bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pasukan khas ini bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.

"Konvensyen Melayu Bandar ini bakal melibatkan kepimpinan tertinggi Umno daripada negeri-negeri dan bahagian-bahagian seluruh Malaysia, parti-parti politik Melayu, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan masyarakat sivil, yang akan diadakan pada penghujung bulan September.

"Resolusi Konvensyen Melayu Bandar kelak akan diserahkan kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Asyraf pada satu kenyataan hari ini.

RUU berkenaan sebelum ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama dan kedua di Dewan Rakyat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Perbahasan dan pengundian RUU tersebut ditangguhkan ke mesyuarat Dewan Rakyat pada Okt ini dan kerajaan akan memperkenalkan beberapa penambahbaikan kepada akta yang dicadangkan itu.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan sebelum ini berkata Ahli Parlimen gabungan itu mahu rang undang-undang berkenaan yang bertujuan membangunkan semula kawasan bandar yang semakin tua dan semakin merosot tanpa perlu mendapat kelulusan 100 peratus daripada pemilik, ditangguhkan dan dikaji semula.

Beberapa ahli parlimen PKR juga menyatakan kebimbangan terhadap ambang persetujuan rang undang-undang untuk pembaharuan bandar, manakala pembangkang, kumpulan masyarakat sivil, dan penduduk Kuala Lumpur telah mengadakan protes di luar Parlimen untuk membantah.

Pembangkang sebelum ini menuduh PSB cubaan menyingkirkan orang Melayu.

Pembangkang juga berhujah PSB akan menyebabkan gentrifikasi dan meminggirkan golongan miskin, khususnya masyarkat Melayu dan India.

Kerajaan menjelaskan PSB bertujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan perumahan usang di bandar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS