Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM jangan membisu dakwaan kronisme Menara KL - Wan Saiful
Diterbitkan:  Sep 3, 2025 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyoal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat tidak mengambil sebarang langkah berhubung dakwaan kronisme dalam pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Menurutnya dakwaan itu dibangkitkan bulan lalu oleh Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob (gambar bawah) namun kerajaan juga “seolah-olah mengelak” daripada menjawab isu tersebut di Dewan Rakyat.

“Berdasarkan pengalaman, saya tahu bahawa SPRM boleh mengarahkan pegawai mereka membuat laporan untuk memulakan siasatan.

"Sebarang maklumat yang diperlukan oleh SPRM berhubung pendedahan tersebut sebenarnya boleh diperolehi daripada sumber terbuka yang boleh diakses oleh umum.

“Kenapa tiada tindakan hingga hari ini?

"SPRM jangan mengambil sikap berdiam diri tanpa sebarang ulasan,” tegas Wan Saiful melalui kenyataan hari ini.

Fathul ketika sidang media di Parlimen pada 27 Ogos lalu memetik rekod syarikat dan menyoal jika LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) dianugerahkan konsesi untuk mengurus Menara KL kerana adanya hubungan politik.

Dia mendakwa dokumen syarikat itu menunjukkan salah seorang pengarah menggunakan alamat yang sama dengan seorang pemimpin kanan kerajaan.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, dipercayai dia merujuk kepada seorang pengarah LSH Best Builders Sdn Bhd – syarikat yang memiliki 70 peratus pegangan dalam LSHSM – yang didakwa anak kepada seorang menteri kanan dari Malaysia Timur.

LSHSM – usaha sama dengan Service Master (M) Sdn Bhd – dianugerahkan konsesi untuk mengurus Menara KL pada Mei tahun lalu selepas kerajaan membuka permohonan cadangan (request for proposal).

Syarikat itu menggantikan pengendali asal Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), yang telah diambil alih oleh Hydroshoppe Sdn Bhd pada akhir 2022. Hydroshoppe dan MKLSB kini sedang menyaman kerajaan.

Fathul memberi amaran jika kes syarikat-syarikat itu memihak kepada mereka di mahkamah, wang tersebut akhirnya perlu ditanggung oleh pembayar cukai pada ketika ekonomi negara sedang “tertekan”.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS