Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan tak ada masalah kalau MIC, MCA sertai PN

Gerakan hari ini memberitahu, mereka tidak ada masalah andainya dua parti komponen BN - MCA dan MIC - memilih untuk bergabung dengan PN.

Malah menurut Gerakan, mereka sudah dirujuk terlebih dulu oleh para pemimpin tertinggi PN sebelum PAS membuat tawaran terbuka kepada kedua-dua parti berkenaan baru-baru ini.

Presiden Gerakan, Dominic Lau, berkata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berbincang dengan mereka mengenai cadangan tersebut sebelum ini dan partinya tidak ada halangan sama sekali terhadap idea berkenaan.

"Malah, kami memang pernah bekerjasama dengan mereka semasa kami di dalam BN," kata Lau kepada Malaysiakini hari ini.

MCA dan MIC sudah berkali-kali menunjukkan rasa kurang senang mereka kepada kerajaan perpaduan di sebalik status kedua-dua parti terbabit adalah sebahagian daripada BN.

Bahkan ada beberapa pihak mengemukakan cadangan agar parti terbabit meninggalkan BN.

Dalam keadaan itulah PAS - melalui timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, 'merisik' MCA dan MIC untuk bergabung bersama PN selepas mengambil maklum mereka tidak diwakili dalam kerajaan.

"MCA dan MIC bebas tentukan hala tuju mereka. Kita alu-alukan bersama kita.

"Jika MCA dan MIC hendak sertai kita (PN), tidak ada masalah sebab setiap parti ada segmen dan penyokong sendiri," katanya.

Asalkan berkongsi idealisme

Cadangan itu turut disambut Setiausaha Agung PN, Azmin Ali, yang menyifatkan ia sebagai “perkembangan positif” menjelang PRU ke-16.

Menurut Azmin, berkata PN mengalu-alukan mana-mana parti politik atau individu yang mendukung idealisme serta perjuangan gabungan itu untuk “memperbetulkan keadaan yang semakin rosak dalam negara."

Untuk rekod sebelum PRU 2018, Gerakan, MIC dan MCA memang menjadi sebahagian daripada gabungan besar BN, manakala Bersatu adalah komponen PH yang turut disertai PKR, DAP dan Amanah.

Lau menjelaskan Gerakan memang menyambut baik penyertaan mana-mana pihak yang boleh membantu PN memenangi PRU akan datang.

Gambar fail

“Justeru mana-mana parti yang ingin menyertai gabungan kami - jika mereka boleh menguatkan PN dan membantu kami menang - kami boleh terima, asalkan mereka sejajar dengan ideologi dan falsafah kami.

"Seperti yang orang selalu katakan, musuh kepada musuh kita adalah kawan kita," tambahnya.

Ditanya jika ada mana-mana pemimpin Gerakan menyuarakan keraguan mengenai tawaran itu, Lau menafikannya.

"Kami pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini (dalam BN) dan hala tuju kami jelas.

"Sesiapa yang boleh membantu kami, kami terima dan kami ketepikan agenda peribadi kami," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS