Seorang pegawai dan beberapa anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan barangan peribadi di sebuah banglo inap desa di Kajang, Selangor pada 28 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata pegawai dan anggota terbabit ditahan petang semalam susulan laporan dibuat seorang daripada penyewa inap desa tersebut sehari selepas kejadian.
Katanya laporan kehilangan barangan itu diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu curi dalam bangunan.
"Semakan mendapati terdapat serbuan dijalankan kira-kira jam 2 pagi pada 28 Ogos lalu apabila polis menerima maklumat berhubung bunyi bising dipercayai akibat aktiviti hiburan di premis berkenaan.
“Berikutan itu, serbuan telah dilakukan oleh pasukan terbabit bagi mengesahkan maklumat tersebut,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.
Shazeli berkata berdasarkan laporan, penyewa terbabit mendakwa kehilangan barangan berharga yang berjumlah ratusan ribu ringgit, selain mendapati keadaan biliknya berselerak selepas serbuan.
Katanya polis bertindak menahan pegawai dan beberapa anggota yang terlibat dalam serbuan berkenaan.
"Penahanan ini dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut,” katanya dan menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
- Bernama