Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakamkan keterangan Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Hafez Sabri berhubung satu hantaran media sosial mengandungi maklumat palsu dan berunsur perkauman berkaitan insiden melibatkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, baru-baru ini.
MCMC mengesahkan bahawa siasatan ke atas Mohd Hafez yang juga Adun Manjoi terkait dengan dakwaan insiden pada 31 Ogos lalu itu melibatkan seorang wanita berketurunan Cina.
“Seperti yang disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, perkara ini adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan orang awam,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya itu menambah, sesi rakaman keterangan dan siasatan lanjut ke atas Mohd Hafez dijalankan dengan kerjasama polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.
Katanya siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkaitan dengan penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan penyebaran kandungan palsu dan berunsur perkauman adalah satu kesalahan serius yang boleh mengancam keharmonian dan ketenteraman awam.
“Orang awam diingatkan supaya sentiasa mengesahkan kesahihan informasi sebelum mencipta atau menyebarkan sebarang konten di media sosial,” tambahnya.
Sebelum ini, Pemuda DAP Pulau Pinang dan Negeri Sembilan membuat laporan polis berkaitan isu tersebut dan menggesa pihak berkuasa menyiasat Mohd Hafez.
Sebagai respons, Mohd Hafez yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat mendakwa, hantaran Facebooknya dibuat berdasarkan kepada maklumat awal yang diperolehinya, dan disunting tidak lama kemudian sebaik saja dia menyedari kesilapan tersebut.
Dengan menegaskan bahawa dia membetulkan hantaran asalnya “beberapa minit” selepas itu, ahli politik terbabit kemudian mendakwa, ada "pihak yang tidak bertanggungjawab" menyebarkan tangkap layar versi awal untuk memainkan naratif tertentu terhadap dirinya.
Pembelaan Mohd Hafez itu dibuat selepas Kumar menafikan insiden pada 31 Ogos lalu di Ipoh, Perak itu melibatkan wanita Cina, sebaliknya individu berkenaan wanita Melayu tempatan.
Selain rekod berkaitan dadah, polis sebelum ini berkata wanita terbabit juga mempunyai sejarah rawatan psikiatri dan berada di bawah pengawasan pakar.