Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah Hang Tuah Jaya gesa PH sedia tanding solo PRN Melaka
Diterbitkan:  Jul 6, 2025 11:18 AM
Dikemaskini: 3:18 AM
1

Pergeseran dalam parti kerajaan perpaduan di Melaka diteruskan lagi, apabila Amanah bahagian Hang Tuah Jaya meluluskan resolusi menggesa Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Keputusan itu dibuat kerana Amanah tidak puas hati dengan kelakuan Umno.

Gesaan itu muncul semasa mesyuarat tahunan bahagian 2025, dengan ahli sebulat suara bersetuju PH perlu mempertimbangkan untuk menghadapi pertembungan tiga penjuru jika perlu, menuduh Umno tidak ikhlas dan angkuh dalam kerjasama politik mereka.

"Sikap Umno yang seumpama masih dibelenggu keangkuhan dan tidak belajar daripada kekalahan masa lalu amat jelas, termasuk dalam isu pembahagian kerusi yang tidak menunjukkan kesungguhan atau niat jujur untuk mencapai kesepakatan,” kata Mohd Sofi Wahab, Ketua Amanah Hang Tuah Jaya.

Tambahnya, walaupun PH dan Amanah menunjukkan muhibah dan kompromi dalam rundingan sebelum ini, usaha ini tidak dibalas.

Satu perkara penting yang menjadi pertikaian, kata Sofi, ialah kerusi DUN Bukit Katil, dengan kakitangan yang dikaitkan dengan pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Umno kekal dalam jawatan mereka, walaupun kerusi itu dipegang oleh Adun Amanah.

"..sehingga terpaksa mengenepikan penyokong dan ahli Amanah yang jauh lebih berkelayakan untuk terlibat dalam pentadbiran DUN.

"Tetapi atas dasar semangat perpaduan dan memegang janji perbincangan, hal ini hanya dibiarkan dengan sangkaan baik, Umno ikhlas untuk berkawan.

"Hakikatnya, ini seolah-olah menggambarkan bahawa kebaikan dibalas tuba dan satu penghinaan terhadap keikhlasan PH, khususnya Amanah," katanya.

Tambahnya, Amanah Hang Tuah Jaya bersedia untuk bertanding dalam situasi tiga penjuru demi mempertahankan maruah, prinsip reformasi dan hala tuju politik yang lebih bermaruah.

"Kami yakin dan percaya, ini juga merupakan keinginan di peringat akar umbi di lain-lain tempat juga," katanya.

PRN Melaka akan datang dijangka menjelang lewat 2026, dengan penggal lima tahun daripada PRN mengejut November 2021 - yang dicetuskan oleh ketidakstabilan politik - tamat.

Kerajaan negeri sekarang dipimpin oleh BN, dalam gabungan dengan PH di bawah pakatan perpaduan peringkat persekutuan yang dijalin selepas pilihan raya umum 2022.

Tindakan bahagian Hang Tuah Jaya mencerminkan rasa kurang senang dalam PH berhubung rundingan kerusi dan dinamik kerajaan perpaduan menjelang pilihan raya yang semakin hampir.

Awal Mei tahun ini, berlaku pertelingkahan antara Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan rakan-rakan kerajaan perpaduan yang lain berhubung cadangan DAP supaya BN dan PH masing-masing bertanding separuh daripada 28 kerusi DUN di Melaka.

Dilaporkan bahawa sembilan cawangan DAP di Melaka telah sebulat suara meluluskan resolusi menyokong strategi “14+14” untuk pilihan raya negeri akan datang - satu langkah yang, jika diteruskan, bermakna BN perlu menyerahkan beberapa kerusi yang sudah dipegangnya.

Ketua Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat berhujah bahawa PH berhak bertanding lebih banyak kerusi, walaupun kini hanya memegang lima berbanding BN 21, kerana keputusan pilihan raya umum 2022 memihak kepada PH.

Pengarah Komunikasi Pemuda PKR Haziq Azfar Ishak kemudiannya mengkritik pendekatan keras Akmal, yang didakwanya tidak menambah nilai kepada perbincangan politik atau usaha untuk mewujudkan konsensus dalam kerajaan perpaduan.

Mengulas mengenai pertelingkahan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah tidak perlu bagi parti kerajaan membangkitkan isu peruntukan kerusi sebelum pilihan raya negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS