Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaharudin sifatkan Sim berlagak mangsa isu hantar LOD
Diterbitkan:  Jul 6, 2025 10:30 AM
Dikemaskini: 2:30 AM
8

Ketua PAS Bahagian Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad terus bertelingkah dengan Steven Sim, dengan menyifatkan menteri itu berlagak sebagai mangsa dan sengaja mencipta persepsi negatif terhadapnya.

Zaharudin, yang sebelum ini cuba menyampaikan surat tuntutan undang-undang (LOD) kepada Sim atas dakwaan memfitnah, mendakwa Menteri Sumber Manusia itu mengelak daripada menangani isu pokok dan sebaliknya mengulas mengenai penutupan pusat khidmatnya di Bukit Mertajam.

“Saya tak sebut dalam video tu apa-apa negatif berkaitan pusat khidmat yang tutup.

"Yang besar-besarkan isu Pusat Khidmat Bukit Mertajam tutup ini ialah Sim sendiri, mungkin tujuannya nak kalih poin utama berkaitan LOD saya hantar serta cabaran dialog isu MM2H (program Malaysia My Second Home).

"Malangnya, respon yang dibuat lebih kepada play victim apabila menyebut 'memang sengaja nak cipta persepsi jahat' sebagaimana ditulis dalam Facebook beliau," katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga menyatakan hasratnya untuk melawat pusat khidmat parlimen Sim sekali lagi pada Selasa (8 Julai), dalam percubaan ketiga untuk menyampaikan LOD kepada Sim.

"Saya harap Sim lebih bersifat gentleman dan negarawan untuk dialog isu negara dan isu masa depan rakyat berbanding main sentimen dan fitnah," kata Zaharudin.

Pemimpin PAS itu memulakan tindakan undang-undang terhadap Sim sebelum ini berhubung kenyataan pemimpin DAP itu yang mengkritik kenyataan kontroversi Zaharudin yang disertakan gambar kenaikan pangkat leftenan jeneral tentera Cina pertama negara.

Walaupun Zaharudin dan pasukannya hadir sendiri di pusat khidmat Sim di Bukit Mertajam dua kali untuk menyerahkan LOD, penutupan pejabat itu mencetuskan kekecewaan mereka.

Sim kemudian menjelaskan bahawa pusat khidmat itu ditutup kerana kakitangannya menghadiri pengebumian datuknya, sambil menambah bahawa notis mengenai penutupan itu ditampal di pintu utama.

“Tindakan pemimpin PAS itu sama ada menunjukkan dia tidak boleh membaca bahasa Melayu atau sengaja mahu menimbulkan persepsi jahat,” kata Sim dalam satu kenyataan ketika itu.

Sim juga menjawab tuntutan Zaharudin untuk permohonan maaf dengan pantun, dan mengulangi kesediaannya untuk berdepan di mahkamah walaupun tidak menemui LOD yang ditinggalkan ketika itu.

Zaharudin mendapat kritikan berhubung catatan Facebooknya - yang kini sudah dipadamkan - ketika dia menulis senario andaian yang pada 2058 seorang individu Cina dari Kampung Sungai Baru dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke-50.

Kenyataan itu juga melampirkan tangkapan skrin artikel berita sebenar mengenai kenaikan pangkat angkatan tentera Johnny Lim, seorang anak jati Melaka, daripada mejar jeneral kepada leftenan jeneral.

Meski menegaskan gambar itu hanya hiasan, Zaharudin mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang menuduhnya sebagai bersifat perkauman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
8
ADS