Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali menjelaskan bahawa ibu pejabat parti kini beroperasi dari lokasi tidak rasmi sementara menunggi premis baru yang sedang disiapkan.
Dalam satu kenyataan malam tadi, Azmin mengesahkan bahawa keputusan untuk tidak memperbaharui perjanjian sewa pejabat di Solaris Dutamas telah diluluskan oleh pucuk pimpinan PN.
Jelasnya, sewaan itu tamat pada April.
"Perjanjian penyewaan tidak dilanjutkan atas persetujuan bersama di antara pemilik dan penyewa. Perkara ini telah dimaklumkan dan mendapat persetujuan pimpinan tertinggi PN.
"Pentadbiran dan urusan Ibu Pejabat PN masih beroperasi seperti biasa di bawah kendalian pegawai-pegawai dan kakitangan Ibu pejabat di lokasi tidak rasmi sementara premis yang baru sedang disiapkan," katanya.
Dia juga menyifatkan laporan berita berkaitan ibu pejabat PN sebagai "tidak berasas dan tidak bertanggungjawab".
Semalam, FMT memetik sumber melaporkan bahawa ibu pejabat PN di Solaris Dutamas telah ditutup sejak Mac.
Pemimpin parti mendakwa tidak mengetahui perkembangan ini, dengan Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin dilaporkan berkata dia sendiri tidak tahu mengenai perkara itu kerana dia bukan lagi setiausaha agung.
Hamzah digantikan oleh Azmin sebagai setiausaha agung PN pada Disember.
Seorang ahli parlimen PN, yang tidak mahu namanya disiarkan, memberitahu Malaysiakini bahawa kakitangan yang pernah bekerja di ibu pejabat PN masih belum menerima gaji mereka walaupun telah diberhentikan hampir dua bulan lalu.