Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Staf kontrak Unisiraj resah ditamat kerja mengejut

Seramai 30 kakitangan kontrak Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (Unisiraj) termasuk staf pentadbiran dan beberapa pensyarah didakwa diberhentikan secara serentak tanpa sebarang notis awal.

Ia sekali gus mencetuskan kegusaran dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi berkenaan.

Difahamkan pemberhentian tersebut dibuat pada 25 Jun lalu iaitu hanya beberapa hari sebelum tarikh kontrak mereka tamat secara rasmi iaitu 30 Jun.

Menurut sumber, kakitangan yang terlibat hanya mengetahui pemberhentian tersebut melalui e-mel yang berisi ucapan terima kasih pihak pengurusan dan tiada sebarang surat rasmi atau notis lanjutan kontrak.

“Ini bukan kali pertama perkara begini berlaku, cuba bezanya sebelum ini melibatkan hanya seorang atau dua orang manakala kali ini 30 orang diberhentikan serentak.

“Kebanyakan kakitangan terbabit terdiri daripada golongan B40 dengan gaji RM1,500 hingga RM2,000 sebulan,” kata sumber yang enggan dinamakan itu kepada Malaysiakini.

Tambahnya, tindakan mengejut itu memberi kesan mendalam dalam kalangan kakitangan yang diberhentikan apatah lagi sesetengah mereka sedang bergelut dengan komitmen kewangan.

Difahamkan ada antara mereka itu baru sahaja membuat pinjaman kereta untuk mencari rezeki melalui perkhidmatan e-hailing selain baru beberapa minggu mendirikan rumah tangga.

“Menangis kakak ini memikirkan bagaimana hendak membayar komitmen sedia ada tanpa pendapatan bulanan,” katanya.

Sementara itu, dakwa sumber terbabit, seorang lagi kakitangan bergegas ke pusat jagaan anaknya kerana cemas apabila dimaklumkan tentang kontrak kerja tidak disambung.

Dapat teguran daripada MAIPs

Katanya lagi, lebih mengejutkan apabila dia difahamkan tiada makluman atau penglibatan lembaga pengarah universiti (LPU) ataupun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam keputusan pemberhentian tersebut.

“Langsung tidak ada apa-apa pilihan diberikan. Yang ada hanya mereka diberhentikan secara mengejut tanpa notis pemakluman awal dan tidak melalui LPU pun.

“Lembaga pengarah MAIPs pun tak tahu. Semua tak tahu mengenai pemberhentian beramai-ramai ini. Jadi, perkara ni sangat mengejutkan,” katanya.

Sementara itu Unisiraj menafikan dakwaan bahawa institusi pengajian tinggi berkenaan menamatkan kontrak 30 stafnya secara serentak tanpa sebarang notis awal.

Rektornya, Rozaimi Ramle, dalam kenyataan berkata penamatan kontrak berkenaan hanya melibatkan beberapa staf dan berlaku secara teratur selepas kontrak kerja mereka tamat mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

Katanya, ia juga bukanlah satu pemecatan mengejut seperti yang didakwa.

“Hakikat sebenar yang berlaku, kontrak mereka itu sudah tamat dan tidak disambung semula. Itu perkara sebenar yang terjadi. Staf berkenaan juga tahu sejak awal mereka melapor diri,” katanya.

Malaysiakini difahamkan MAIPs memperuntukkan sehingga RM40 juta setahun kepada Unisiraj melalui dana zakat untuk menampung kos pengurusan institusi terbabit tetapi sumber itu mendakwa ada sebahagian yang tidak diketahui ke mana ia dibelanjakan.

Mengulas lanjut, sumber Malaysiakini memaklumkan tindakan penamatan kontrak itu dipercayai berlaku selepas MAIPs menegur beberapa keputusan yang dianggap membazir oleh pihak pengurusan universiti.

Jumlah pekerja dianggap ramai

Antara yang dibangkitkan termasuk lawatan kontroversi ke Uzbekistan oleh rektor UniSIRAJ, Muhamad Rozaimi Ramle bersama rombongan bukan kakitangan universiti, serta pembelian kenderaan yang dianggap tidak perlu.

Dakwa sumber terbabit, lawatan berkenaan dibuat atas nama urusan kerja tetapi hasil daripada program berkenaan tidak dapat dipastikan sehingga mendorong MAIPs membuat teguran kepada Unisiraj.

Sumber Malaysiakini turut mempersoalkan rasional di sebalik keputusan drastik pemberhentian ini dengan alasan "audit perjawatan menunjukkan jumlah pekerja ramai" sedangkan anggota keseluruhan kakitangan Unisiraj Cuma sekitar 200 orang untuk 1,200 pelajar.

“Kita faham jika perlu kurangkan kakitangan, tapi berilah notis dua atau tiga bulan supaya mereka bersedia. Ini tidak, diberhentikan terus tanpa sebarang amaran.

“Institusi ini baru saja dinaik taraf dari Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menjadi universiti. Logiknya, apabila naik taraf kita memerlukan tenaga yang lebih ramai.

“Tapi, tiba-tiba ada pengecilan pula,” ujar sumber tersebut lagi.

Beberapa individu lain yang dihubungi Malaysiakini turut mengesahkan pemberhentian kakitangan kontrak Unisiraj secara serentak tanpa sebarang notis pemakluman awal.

Bagaimanapun, mereka enggan mengulas lanjut kerana bimbang identiti terdedah dan mungkin memudaratkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS