Seorang pemimpin Warisan membayangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ingin terus bekerjasama dengan PH, dan terbuka untuk meneruskan hubungan BN, hanya kerana terpaksa.
Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis mengaitkannya dengan skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri itu.
Dia membangkitkan kenyataan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS Hajiji Noor pada Mei lalu yang gabungan itu sedia untuk bertanding secara solo dalam PRN akan datang, hanya untuk mengubah nadanya beberapa hari kemudian.
“Kenapa? Sebab mereka ada kes,” kata Isnaraissah, merujuk skandal rasuah tersebut, yang mengaitkan sejumlah Adun daripada GRS.
“Anda fikir GRS tak mahu bertanding solo? Mahu. Anda fikir kita tidak tahu mereka pun berbalah di bawah?” katanya dalam satu rakaman video.
Isnaraissah berkata demikian dalam satu program Warisan di Kuala Penyu, Sabah semalam.
Pada 30 Jun lalu, dua Adun GRS, Andi Muhammad Suryady Bandy dan Yusof Yacob dihadapkan di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah berhubung permohonan lesen mineral di Sabah.

Ahli perniagaan dan juga pemberi maklumat skandal itu, Albert Tei pula dihadapkan dengan pertuduhan memberi rasuah kepada Andi dan Yusof.
Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah.
Tak mahu ada Sarawak 2.0
Sementara itu, Isnaraissah mendakwa kerajaan Persekutuan enggan bekerjasama dengan Warisan kerana presidennya, Shafie Apdal lantang mempertahankan Sabah.
“Kenapa tak ada orang pelawa dia (untuk bekerjasama)? Sebab Shafie mampu menjadikan Sabah seperti Sarawak.
“Persekutuan sedaya upaya tak mahu ada Sarawak 2.0. Selepas PRN, mereka tak mahu Sabah jadi macam Sarawak.
“Kenapa? Sebab terpaksa beri duit (kepada negeri). Kalau Ketua Menteri Sabah kuat, dia lagi bising (lantang), lagi kuat Sabah. Lagi banyak duit mereka (Persekutuan) ‘terbang’,” katanya.

Justeru, Isnaraissah menggesa orang Sabah untuk memilih pemimpin yang lantang memperjuangkan negeri itu dalam PRN akan datang.
“Apabila PRN nanti, yang kita akan pilih adalah Ketua Menteri Sabah, bukan Ketua Menteri Malaya (Semenanjung).
“Kita tak perlu restu dari Malaya untuk pilih siapa Ketua Menteri Sabah,” katanya lagi.
Shafie menjadi Ketua Menteri Sabah selepas Warisan menang di negeri itu pada PRU 2018.
Bagaimanapun kerajaan negeri pimpinan Warisan gagal bertahan lama apabila parti itu tewas dalam PRN 2020.
PRN Sabah dijangka diadakan selewat-lewatnya Oktober ini, dengan DUN perlu dibubarkan menjelang September.