Laporan mengenai penutupan Ibu Pejabat PN di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur siang tadi nampaknya mengundang lebih banyak perhatian dan dakwaan.
Kali ini sumber dalaman parti itu mendakwa isu berkenaan bukan sekadar penutupan premis, malah lebih daripada itu.
Dakwa sumber Bersatu itu, kakitangan pejabat terbabit juga diberhentikan. Malah, dakwanya, gaji mereka juga tidak dibayar.
"Saya tanya kawan-kawan yang bekerja di pejabat itu, ya, mereka telah diberhentikan kerja dekat dua bulan dan gaji mereka tidak berbayar.
"Yang saya tahu dan saya dengar (puncanya) adalah masalah pengurusan.
“Saya boleh sahkan pemberhentian pekerja di Ibu Pejabat PN sudah berlaku," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin, berkata dia “tidak pasti” mengenai penutupan Ibu Pejabat PN itu kerana bukan lagi menyandang tugas sebagai setiausaha agung parti terbabit.
"Saya sendiri tidak pasti sebab bukan lagi setiausaha agung.
“Ketika saya pegang jawatan SU (setiausaha agung) dahulu , hal berkaitan pejabat adalah sebahagian daripada urusan pengurusan dan pentadbiran harian parti.
"Kita tunggu penjelasan rasmi daripada Setiausaha Agung (PN). Mungkin mereka sedang mencari tempat baru atau mungkin sudah menjumpainya," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Ketika ini jawatan Setiausaha Agung PN disandang Adun Hulu Kelang dan bekas Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali.
Dalam pada itu sumber yang juga wakil rakyat PN berkata, parti itu juga sedang berdepan dengan isu kekosongan jawatan bendahari agung yang berpanjangan ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Jawatan bendahari PN sampai hari ini pun masih belum ada lantikan baru selepas Samsuri melepaskan jawatan setakat ini.
"Tapi, tak tahulah kalau Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sudah lantik secara senyap-senyap," katanya lagi.
Mahu tindakan segera
Ahmad Samsuri merupakan Naib Presiden PAS, Menteri Besar Terengganu dan Ahli Parlimen Kemaman. Dia melepaskan jawatan bendahari agung itu pada Dis tahun lalu.
Di sebalik kenyataan PAS bahawa mereka sudah memiliki calon pengganti, selepas enam bulan status jawatan tersebut masih menjadi teka-teki.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan pula berkata dia tidak pasti dengan kebenaran dakwaan itu, tetapi jika benar isu penutupan ibu pejabat berkenaan mesti diberi perhatian serius.

Bahkan, Wan Saiful berkata, jika ia benar perkembangan tersebut “membimbangkan.”
"Saya pun baru dapat tahu berita berkenaan dan saya tak sempat periksa lagi sebab ada program tadi.
"Tapi kalau betul ditutup, saya rasa ini satu perkara yang membimbangkan, jadi saya harap pihak setiausaha agung akan ambil tindakan segera untuk memastikan pejabat dapat dibuka," katanya.
Wan Saiful yang merupakan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu ditemui media selepas program Bersatu di Seri Kembangan, hari ini.