Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Veteran Umno setuju masalah selesai jika ego dikendurkan

Veteran Umno menasihati Hishammuddin Hussein supaya bersedia menurunkan ego ketika puncuk pimpinan telah menunjukkan keterbukaan membawa pendamaian dalam usaha parti itu merungkai kemelut yang melanda.

Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sudah menunjukkan sikapnya mahu mencari jalan agar bekas ahli parti atau individu yang digantung keanggotaan diterima semula – dengan syarat mereka mengemukakan sendiri surat rayuan.

"Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hanya menunggu surat ringkas dari Hishammuddin 'memohon maaf kalau ada' bagi merungkai tali penggantungan ke atasnya.

"(Tapi) Mengikut Hishammuddin, dia kekal mahu berpegang kepada prinsip.

“Hanya dia yang tahu apa prinsip yang dipegangnya. Dia tidak mahu mengalah. Akibatnya dia dilihat seperti ego.

"Dengan menulis surat tu bermakna dia telah menurunkan egonya ketika presiden telah menunjukkan tanda-tanda untuk berdamai demi parti," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, menyatakan kesediaannya untuk menjadi orang tengah bagi menyatukan semula bekas pemimpin Umno yang dikenakan tindakan disiplin seperti Ahli Parlimen Sembrong itu.

Kata Akmal, atas keyakinan Umno adalah milik Melayu, semua pihak perlu disatukan termasuk dalam kalangan bekas pemimpin parti yang dipecat atau digantung.

Tak selesai kalau berkeras

Akmal berkata langkah itu boleh dicapai jika semua pihak yang terbabit menilai ego masing-masing dan berkorban demi parti tersebut.

"[…] Umno ini milik semua dan kita mesti disatukan semula. Kita perlukan mereka (bekas pemimpin digantung atau dipecat) untuk membina kekuatan parti.

"Tapi dengan satu syarat, masing-masing kena rendahkan ego, insya-Allah Umno ini akan semakin kuat,” katanya di Seremban, Negeri Sembilan seperti dipetik BH Online.

Baru-baru ini Umno Sembrong meluluskan usul – untuk tahun kedua berturut-turut – meminta agar ahli parlimen kawasan itu, diterima semula sebagai ahli tanpa sebarang syarat dan serta-merta.

Bagaimanapun MKT Umno yang bermesyuarat kemudian menegaskan permohonan kemasukan semula ahli yang digantung atau dipecat akan dipertimbangkan oleh parti jika mereka sendiri membuat rayuan.

Hishammuddin – yang pernah menjadi naib presiden parti itu – kemudian memberi bayangan dia tidak akan membuat rayuan atas alasan berpegang kepada prinsip yang diyakininya, selain tidak mendakwa dia tidak diadili dengan baik sebelum dihukum.

Menghargai niat baik Akmal, Mustapha bagaimanapun berkata, usaha exco Melaka itu tidak akan berhasil sekiranya Hishammuddin – yang juga bekas Naib Presiden Umno – enggan menghantar surat rayuan.

"Niat baik Akmal untuk menjadi orang tengah untuk membebaskan Hishammuddin daripada penggantungannya tidak akan berhasil selagi dia berkeras dengan pendiriannya untuk tidak memohon maaf.

"Kalau Akmal dapat memujuk Hishammuddin untuk melakukan begitu, maka ianya satu kejayaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS